Rabu, 8 Mei 2019

‘Sempadan cuma dawai, langkah saja dah masuk Thai’


   

Hari ketujuh sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Wang Kelian hari ini, saksi memaklumkan sempadan Malaysia mudah ditembusi melalui laluan berbukit Ban Talok, Sadao, Thailand.

Saksi ke-22 Mohd Sayuti Zainudin mendedahkan ketika dia sampai ke kem penempatan sementara pendatang asing tanpa izin di Wang Kelian itu mendapati sempadan negara Malaysia-Thailand hanya dihadang dengan dawai.

"Dawai itu rendah, tinggi bawah paras pinggang saya dan hanya perlu melangkah untuk masuk (dari Thailand).

"Hanya ada gulungan kawat besi tanpa pagar," katanya ketika sesi prosiding di hadapan panel RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria di Putrajaya.
Mohd Sayuti yang juga jurugambar Malay Mail berkata, dia ke lokasi berkenaan bersama wartawan S Arulldas yang juga saksi ke- 21 prosiding itu hari ini.

"Kemudian kami berjalan ke hadapan lagi dan menemui sungai yang dimaklumkan adalah tempat pendatang asing tanpa izin mandi dan minum.

"Kami kemudian berjalan lagi dan menemui lima struktur tanah seperti kubur dan tidak jauh dari situ, kubur berkenaan ditutup dengan daun," tambahnya.

Jelas Mohd Sayuti mereka masuk ke kawasan Bukit Genting Perah, Wang Kelian dari sebelah Thailand pada 13 Mei 2015, dengan dipandu dua lelaki Thailand dan mendaki bukit selama kira-kira sejam sebelum menjumpai batu sempadan.

Sayuti yang bekerja dengan Malay Mail sejak 2013 turut mengesahkan gambar yang diambilnya ketika itu, yang dipaparkan di hadapan panel RCI.

Dalam pada itu S Arulldas yang juga bekas wartawan Malay Malil ketika sesi prosiding memberitahu dia ke lokasi berkenaan sekitar enam kali bagi menjejaki kubur berkenaan.

Katanya, dia gagal menemui lokasi itu pada awalnya kerana melihat bahagian di bukit itu sama saja.

"Saya juga tidak bertanya kepada penduduk tempatan kerana bimbang jika ada antara mereka adalah ejen (pendatang asing tanpa izin)

"Kemudian saya bercakap dengan polis hutan dan barulah saya dimaklumkan bahawa polis pernah naik ke bukit itu sebelum ini, selain kedatangan ambulans. Saya yakin ada sesuatu di situ," katanya.

Tambahnya, walaupun mencabar, perjalanan ke kawasan penempatan sementara itu dari Thailand boleh disifatkan lebih mudah berbanding dari Malaysia kerana terdapat laluan yang kelihatan biasa digunakan.

Hari ini, tiga saksi memberi keterangan pada hari ketujuh sesi pendengaran awam RCI itu, hari ini. Seorang lagi ialah Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis, Nurul Hafzan Ab Aziz.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.


Tiada ulasan: