Rabu, 8 Mei 2019

Ramasamy perlu hentikan emosi kaum dan suara negatif

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF04052018_PC-Parti-Cinta-Malaysia_12-681x454
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy perlu menghentikan emosi kaum dan suara negatifnya terhadap pembangunan di negeri-negeri lain.

Sebaliknya, beliau perlu berfikir untuk pembangunan dan keperluan Wilayah Utara secara keseluruhan, kata Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Menurutnya, bantahan Ramasamy terhadap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK), jelas dilihat bernada emosi.

“Beliau mendakwa terdapat cubaan mengurangkan tarikan dan menghukum atas kejayaan dicapai negeri ini (Pulau Pinang).

“Tetapi paling melampau apabila Ramasamy turut mengaitkan hal tersebut dengan dominasi Melayu dan komposisi kaum yang ‘ganjil’ dalam pembangunan bandar dan komersial.

“Apakah beliau sedar ianya satu tuduhan dan juga satu pengakuan?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Iszuree berkata, dengan pernyataan itu Ramasamy telah menuduh wujud sikap dan keputusan berasaskan perkauman Melayu yang tidak adil dan seolah telah menindas kaum lain.

Malah pada masa sama katanya, Ramasy mengaku berlaku perubahan komposisi kaum yang menguasai bandar dan komersial.

“Ternyata, Ramasamy tidak pernah menyingkirkan sentimen perkaumannya yang ekstrem, lalu menuduh pihak lain juga seperti dirinya.

“Tetapi membuka pekung dan menyedari hakikat bahawa berlakunya perubahan komposisi kaum di negeri ini.

“Sediakah Ramasamy mengesahkan bahawa ianya terjadi lantaran polisi dan agenda Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri telah, sedang dan akan mengusir penduduk secara strategik?

“Atas nama pembangunan dan kemajuan, penduduk asal baik Melayu, Cina mahupun India diabaikan,” ujarnya.

Iszuree mendakwa, DAP begitu teruja menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura sehingga penduduk tanpa mengira kaum dan kemiskinan dihambat keluar.

Tegasnya, mereka yang sedang memiliki hartanah mewah di negeri itu pula bukanlah anak kelahiran jati negeri pulau mutiara sebaliknya merupakan orang luar.

Tambahnya, ketika Ramasamy beremosi mempersoal logik lapangan terbang di Alor Setar dan Pulau Langkawi, tidakkah beliau melihat logik sama atas pembinaan lapangan terbang di Pulau Pinang.

Iszuree turut memberitahu, semua projek dirancang DAP sedang berdepan kontoversi kajian kelayakan.

“Tidak perlu Ramasamy pertikaikan mengenai penilaian impak sosial, trafik dan alam sekeliling, sedangkan Pulau Pinang juga gagal memenuhinya.

“Malah, paling buruk, projek di negeri ini terpalit dengan skandal rasuah yang siasatannya belum diklarifikasi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: