Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Usah main isu pinjaman pendidikan untuk raih sokongan politik
BANGI
– Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disarankan untuk menitikberatkan
mekanisme pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) supaya tidak membebankan peminjam.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional
(Pembina), Azam Asri berkata, selepas setahun PH memerintah negara,
rakyat menyaksikan polisi pembayaran PTPTN kerap kali berubah dan
hasilnya kebanyakkan polisi adalah seperti dilaksanakan ketika
pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“PH telah mendidik mahasiswa dan graduan
untuk menuntut pendidikan percuma dan polisi tidak perlu membayar balik
pinjaman itu. Ini diuar-uarkan tanpa soal selidik dan kajian yang
mendalam untuk dilaksanakan. Semua bertujuan untuk meraih sokongan
golongan mahasiswa dan graduan.
“Justeru, ia perlu menjadi pengajaran
kepada mahasiswa dan graduan untuk tidak mudah menerima janji manis
mana-mana pihak tanpa usul periksa. Kelebihan akal yang baik perlu
digunakan untuk menganalisis janji-janji manis dan sepatutnya kita yang
mendidik masyarakat untuk memahami realiti isu sebenar.
“Ini juga perlu dijadikan pengajaran oleh
pemain politik negara supaya tidak memainkan isu pendidikan demi meraih
sokongan. Berlaku jujurlah dalam berjanji,” katanya kepada Ismaweb.
Pada masa sama, Azam berkata, pembayaran
balik pinjaman PTPTN perlu diterima kerana kitaran pinjaman ini
kemungkinan memberi kesan kepada peminjam seterusnya.
“Oleh itu, semua pemegang taruh perlu
memainkan peranan untuk berharapan dengan isu-isu seperti ini. Inilah
yang perlu dididik kepada masyarakat kita,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan PTPTN mungkin
memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap
peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika itu yang dimahukan
orang ramai.
PTPTN juga dikatakan sedang meneliti
beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan, termasuk
menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan
dan lesen perniagaan kepada Kabinet.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, Pengerusi
PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menafikan ia adalah cadangan PTPTN. Beliau
menegaskan bahawa tindakan berkenaan dilihat terlalu menekan peminjam
dan kelihatan seolah-olah PTPTN tidak bertimbang rasa dan tegas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan