Ahad, 12 Mei 2019

PH TIADA BUKTI NAJIB GUNA WANG 1MDB


Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa sehingga ke hari ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal membuktikan kesemua barangan dan wang yang dirampas di kediaman beliau tahun lalu berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya oleh kerana itu tindakan lucut hak sivil dikenakan terhadap barangan tersebut bagi membolehkan ia terus disimpan.

“Selepas setahun menyiasat, kerajaan PH tidak berupaya untuk menemui sebarang bukti barangan atau wang tunai berkenaan adalah daripada hasil tidak sah.

“Sebab itu sehingga hari ini, tiada satu pendakwaan dibuat terhadap barangan dan wang tunai itu.

“Jika dikembalikan, sudah tentu tindakan itu mengesahkan Najib tidak korup (rasuah) dan tidak membeli barangan itu menggunakan wang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) atau sumber wang yang tidak sah,” katanya melalui kenyataan dalam Facebook beliau pada Rabu.

Walaubagaimanapun, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan menegaskan tindakan lucut hak sivil itu telah melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak setiap rakyat untuk mempertahankan harta sah mereka dipelihara.

“Kes sivil ini adalah lemah dan bukanlah kes jenayah namun ia membenarkan kerajaan PH untuk menangguh atau mengelak daripada memulangkan semua barangan itu.

“Ia juga membolehkan mereka untuk terus menggunakan pembohongan yang sama selain propaganda terhadap saya,” katanya.


Tiada ulasan: