Jumaat, 17 Mei 2019

PEMUDA PAS TUNTUT MALAYSIAKINI MOHON MAAF

Wartawan Watan-Online

Portal berita Malaysiakini dituntut untuk meminta maaf kerana memanipulasi fakta sejarah dan memutar belit peristiwa 13 Mei 1969, ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait.

Beliau berkata walaupun Malaysiakini telah mengubah tajuk analisis tragedi tersebut, namun tindakan tersebut masih tidak mencukupi kerana kandungannya masih sama.

Menurutnya, analisis bertajuk ‘13 Mei, moga tak berulang: Rusuhan 1969 yang mengubah Malaysia’ merupakan huraian sejarah yang salah dan akan membangkitkan amukan sesetengah kaum kerana merasakan kelompok mereka dipersalahkan dan ditindas.

“Pemuda PAS kekal dengan pendirian supaya Malaysiakini meminta maaf kerana analisis tersebut. Isu ini harus ditutup, jangan disebut lagi kerana ia akan jejas perpaduan kaum.

“Kenapa tiada tindakan daripada kerajaan terhadap portal berkenaan?. Paling kurang amaran patut diberikan, kalau amaran pun tiada macam mana perkara ini hendak selesai.

“Jika dahulu Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah menarik permit akhbar Utusan Malaysia dan Harakah kerana menyiarkan berita yang mengancam perpaduan negara, tetapi sekarang kita tidak dengar apa-apapun daripada KDN,” katanya ketika dihubungi media pada Khamis.

Tiada ulasan: