PAS percaya ahlinya tidak terlibat dalam insiden membakar kereta rasmi milik Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lalu.
Timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis dan dakwaan bahawa suspek merupakan ahli PAS belum dapat dipastikan kesahihannya.
"Parti kita memang jaga peraturan dan disiplin, kita tegas tidak mahu ada ahli atau mana-mana unit kita terlibat dengan perkara yang bercanggah dengan undang-undang.
"Tetapi apa yang jelas dalam isu kebakaran kereta mufti ini ia masih dalam siasatan polis, dan suspek digambarkan orang itu orang ini dalam keadaan yang tak pasti betul ke tidak," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ceramah Tausiah Badar Kubra sempena Ijtimak Pondok Semalaysia 2019 di Kota Bharu, semalam.
Pada 22 Mei lalu, Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Semalam, polis mengesahkan suspek utama insiden itu yang dikenali sebagai Zaini sudah diberkas, manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai Mie Tomoi sedang diburu.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, beliau berterima kasih kepada pihak polis yang mengeluarkan arahan supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan sementara kes masih disiasat.
"Saya berterima kasih kepada pihak polis yang keluarkan kenyataan supaya masing-masing termasuk Asri sendiri tidak buat sebarang kenyataan, kerana takut jadi bias.
"Kita terbuka dan kita tak pernah arah ahli membuat perkara yang bercanggah dengan undang-undang. Kita berharap siasatan akan membersihkan dakwaan (terhadap ahli PAS) dan kita yakin ahli kita tidak akan terlibat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan