Rabu, 22 Mei 2019

Menteri: NFC mungkin dijenama semula selepas ambil alih


   

National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) mungkin akan dijenamakan semula selepas diambil alih syarikat lain, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

"Saya dimaklumkan syarikat ini memang amat berminat untuk ambil alih NFC dan sekiranya semua syarat dipenuhi, kita tak ada masalah. Syarikat baru boleh meneruskan projek NFC, mungkin kita tukar nama baru," katanya.

Beliau berkata pihaknya memang berharap isu NFC selesai secepat mungkin kerana ia melibatkan kepentingan awam, dan menyambut baik jika syarikat berkenaan dapat memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk menyelesaikan tunggakan pinjaman.

"Saya telah membuat kenyataan seawal berada di kementerian, sebuah syarikat berminat untuk beli NFC, kita telah lihat syarat-syarat itu dan diajukan kepada perdana menteri dan menteri kewangan.

"Menteri kewangan beri respon bahawa NFC perlu kembalikan semula pinjaman, itu terma yang perlu dipatuhi," katanya lagi kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail memaklumkan syarikat itu sudah mempunyai pembeli baru yang sedia membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC dalam masa tiga bulan kepada kerajaan.

Mohamad Salleh berkata demikian selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan mahu menuntut sepenuhnya RM254 juta yang masih belum dibayar syarikat itu.

Dalam pada itu, salahuddin berkata beliau gembira jika projek NFC dapat diteruskan memandangkan matlamatnya yang cukup baik, iaitu menyediakan 30 peratus bekalan daging tempatan.

"Saya harap cepat diselesaikan, kalau semua syarat dipenuhi kementerian terus bantu memudah cara proses pengambilalihan NFC," katanya lagi.


Tiada ulasan: