Jumaat, 17 Mei 2019

Maut langgar kuda

Shahrinnahar Latib

REMAJA maut selepas motosikal ditunggang merempuh seekor kuda di Kilometer (KM) 89 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh dekat Lipis, malam tadi.

Kejadian jam 9.40 malam itu mengakibatkan Muhamad Shukri Che Aris, 22, beralamat di Kampung Persit Merapoh, Gua Musang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd Noor berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR dari arah Lipis ke Merapoh sebelum terlanggar kuda itu yang dikatakan muncul secara tiba-tiba.


“Mangsa dipercayai tidak nampak kuda di jalan kerana keadaan gelap dan melanggar haiwan itu.
 

“Akibat rempuhan itu, mangsa terpelanting beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kuda padi berkenaan juga mati akibat rempuhan itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forenik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

“Kita juga sedang mengesan pemilik kuda itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tiada ulasan: