Rabu, 8 Mei 2019

Lagi pihak bantah peraturan baru penggunaan cermin gelap

MALAYSIAKINI

   
Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyifatkan kebenaran penggunaan cermin gelap seperti yang diumumkan semalam sebagai keputusan terburu-buru tanpa melibatkan kajian secara komprehensif.

Sehubungan itu, ketua pemuda Ikatan, Shahrir Adnan menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya menarik balik keputusannya itu dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.

“Persoalannya, adalah kajian sudah dibuat secara menyeluruh? Langkah ini mengundang banyak implikasi buruk.

“Risiko kemalangan meningkat lebih-lebih lagi apabila pemanduan dalam keadaan hujan lebat kerana jarak penglihatan terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain aspek keselamatan jalan raya, kata Shahrir penggunaan cermin gelap juga mendatangkan lebih banyak keburukan terutama berkaitan ancaman penjenayah.

“Penjenayah juga boleh berselindung di sebalik cermin gelap. Lebih parah jika anak-anak kecil diculik dan diletakkan di tempat duduk belakang untuk mengelak daripada ditemui polis.

“Golongan wanita juga terdedah kepada mudarat jika melihat kepada senario di tempat letak kereta apabila mereka tidak nampak sama ada kereta di sebelah mereka kosong atau tidak, di mana penjahat menunggu masa untuk bertindak,” katanya.

Shahrir mengulas isu penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada bahagian sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan persendirian yang dikuatkuasakan hari ini.

“Aspek keselamatan di jalan raya juga tidak diambil kira. Bayangkan kendaraan besar seperti Alphard atau Vellfire yang mempunyai cermin hitam 100 peratus di cermin belakang.

“Kenderaan lain terdedah kepada kemalangan, sama ada ketika pemanduan di atas jalan raya atau ketika mengundur ‘reverse’ di tempat letak kereta.

“Ini juga diburukkan lagi dengan keadaan Malaysia yang sentiasa hujan lebat. Jarak penglihatan akan lebih terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrir berkata demi keselamatan rakyat dan keselamatan atas jalan raya, Loke perlu tanpa segan silu segera membuat pusingan-U berhubung keputusannya semalam itu.

“Alasan-alasan yang diberikan oleh menteri adalah sangat lemah. Permintaan rakyat untuk kurangkan kos sara hidup sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan, bukan cermin gelap.
 
“Alasan kesihatan sepatutnya dikaji bersama faktor keselamatan,” katanya.
 

http://infografik.bernama.com/2019/Mei/Cermin-BM.jpg

Tiada ulasan: