Selasa, 7 Mei 2019

Klinik desa ditutup kerana gangguan makhluk halus?

Mohd Zaini Samsu Hadi
Klinik Desa Gesir Tengah
Klinik Desa Gesir Tengah

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengalami episod aneh yang berulang sejak 2007, sebuah klinik di Hulu Selangor ditutup sementara sebagai langkah untuk melakukan usaha pemulihan.

Berdasarkan sekeping notis yang tular di laman sosial, klinik berkenaan, Klinik Desa Gesir Tengah ditutup ekoran gangguan yang berlaku sejak sekian lama.

Menurut kandungan pada notis yang dikeluarkan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Siti Rohana Saad itu, walaupun pelbagai usaha pemulihan telah dilakukan namun, gangguan tersebut masih berterusan hingga memaksa langkah penutupan perlu dibuat.

Notis bertarikh 28 Mac 2019 itu turut memaklumkan, kejadian aneh tersebut sering berlaku setiap kali adanya urusan perkhidmatan oleh pihak klinik kepada pesakit malah, pesakit yang mendapatkan rawatan juga turut diganggu.

klinik2

Disebabkan perkara yang berlaku tidak berkesudahan, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor telah membuat keputusan untuk memberhentikan sementara operasi di klinik berkenaan.

Pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik tersebut juga dipindahkan dan mereka perlu membuat temujanji di Klinik Kesihatan Sungai Selisek yang jaraknya kurang lima kilometer dari Klinik Desa Gesir Tengah.

Notis penutupan klinik terbabit juga sudah diedarkan kepada penduduk berserta nombor telefon untuk dihubungi jika terdapat sebarang masalah.

Tindakan lanjut serta pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu turut dimaklumkan pada notis tersebut. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: