Selasa, 7 Mei 2019

Kerajaan pertimbang musnah bot nelayan asing ceroboh perairan negara


Astro Awani
Kerajaan pertimbang musnah bot nelayan asing ceroboh perairan negara
Salahuddin berkata ia langkah akhir yang akan dilakukan kementerian bagi memerangi pencerobohan kapal nelayan asing. -Gambar fail
 
 
JOHOR BAHRU: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memusnahkan kapal menangkap ikan milik warga asing yang menceroboh masuk ke perairan negara, termasuk tindakan membakar bot sepertimana yang dilakukan di Indonesia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata ia merupakan langkah akhir yang akan dilakukan kementerian bagi memerangi kapal nelayan asing.

Untuk itu, menurut Salahuddin, satu pasukan daripada kementeriannya bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri telah ditubuhkan dalam usaha yang dilihat dapat mengurangkan kehadiran kapal nelayan asing di perairan negara.
 
"Kita harus ada gabungan kekuatan dengan beberapa kementerian. Sekiranya operasi ini juga tidak berkesan, kita akan bincangkan di peringkat Kabinet," kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis jamuan Ulang Tahun ke-40 Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru, di sini.

Pada 24 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi membanteras pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam.

Ia melibatkan beberapa agensi daripada kementerian terlibat. Antaranya agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mengikut rekod, Malaysia kehilangan purata RM6 bilion setahun akibat aktiviti haram penangkapan ikan di perairannya.
 
 

Tiada ulasan: