Ahad, 12 Mei 2019

Kanak-kanak dirogol anak pengasuh

Mohd Hafizee Mohd Arop
 
 

KANAK-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai menjadi mangsa rogol anak lelaki pengasuhnya di Taman Lapangan Jaya, Ipoh.

Difahamkan, kejadian itu diketahui Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan perbuatan remaja berusia 16 tahun itu kepada ibu saudara sebelum dimaklumkan kepada ibunya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa dipercayai menceritakan perbuatan terkutuk anak pengasuhnya kepada ibu saudara.

“Selepas mendapat tahu perkara itu, ibu mangsa bertanya sendiri kepada anaknya. Kanak-kanak itu menceritakan perbuatan suspek selain mengadu bahagian sulitnya sakit,” katanya.

Mazuki berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pemeriksaan dan keputusan mendapati terdapat kesan koyakan separuh dipercayai akibat tusukan objek tumpul.

Katanya, mangsa dipercayai sudah mengadu mengenai kesakitan di bahagian sulitnya sejak Isnin lalu namun ibunya tidak mengesyaki apa-apa.

“Selasa lalu, mangsa juga menangis ketika mahu dihantar ke rumah pengasuh dengan mengatakan ada budak lain yang dijaga di situ mahu memukulnya.

“Mangsa dipercayai sudah dijaga oleh ibu suspek sejak berusia dua tahun enam bulan manakala suspek tidak bersekolah dan membantu menjaga anak-anak yang diasuh ketika ibunya memasak,” katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: