Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dituntut agar memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kegagalan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), ujar Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.
Katanya rakyat masih tertanya-tanya dan menagih janji manifesto selepas setahun PH mentadbir negara.
Beliau turut berkata janji PH terutamanya untuk mengurangkan kos sara hidup masih gagal dilaksanakan sehingga keadaan dilihat lebih membebankan pada ketika ini.
“Banyak lagi janji untuk meringankan beban rakyat dibuat PH sebelum PRU-14 sehingga majoriti rakyat menyokong mereka.
“Namun, hari ini iaitu selepas setahun memerintah, beban kos sara hidup rakyat bukan sahaja tidak berubah, malah semakin buruk manakala janji-janji PH pula banyak yang tidak tertunai,” katanya kepada media di Pulau Pinang pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Tong Keong berkata rakyat juga turut mempersoalkan mengapa harga barang dan perkhidmatan tidak berkurang malah ada yang lebih mahal di sebalik janji Kerajaan PH menyelesaikan isu itu dengan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Katanya, keadaan tersebut jelas menunjukkan PH tiada kesungguhan politik untuk melaksanakan manifesto yang mereka janjikan.
“Realitinya, apa yang disaksikan rakyat ketika ini adalah alasan demi alasan dan pusingan U yang dibuat Kerajaan PH semata-mata untuk mengelak dan menutup kegagalan mereka menunaikan janji kepada rakyat,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan