Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengalahgunakan kuasanya.
Presiden GTSM, Kamarudin Hussain, mendakwa Loke meminda beberapa peraturan sedia ada dan ia dilihat merugikan pemandu teksi, sebaliknya menguntungkan pihak lain yang bersaing dengan mereka.
Antaranya, kebenaran untuk syarikat e-hailing melaksanakan kursus lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara dalam talian dan peraturan baru pemasangan cermin gelap.
"Sejak akhir-akhir ini, Loke menggunakan jawatannya meminda peraturan sedia ada sedangkan dulu peraturan itu dibuat demi jaga keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya.
"Tetapi hari ini apa sahaja peraturan yang sedia ada, dipinda tanpa berbincang.
"Dia buat itu semua untuk kepentingan Grab," katanya pada sidang media di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Menurut Kamarudin, GTSM percaya wujud salah laku dalam Kementerian Pengangkutan dan ia mungkin melibatkan gejala salah guna kuasa.
Terdahulu GTSM menyerahkan surat permohonan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan dalam perbincangan bagi mendapatkan hak sama rata untuk pemandu teksi dan Grab.
"Beliau (Loke) menutup rundingan malah kami dianggap kurang ajar dan pemberontak kerana tidak puas hati kepadanya,” katanya.
Menurut Kamarudin, sejak Loke menyandang jawatan itu, tiada sebarang usaha diambil untuk membantu pemandu teksi.
"Kami tidak minta ia (Grab) diharamkan, cuma mahu bantuan diberi agar kami mendapat hak sama rata.
"Kenapa susah sangat nak tunaikan?” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan