Selasa, 21 Mei 2019

Cakap Melayu rasis, cakap Islam pelampau agama

SUBKY LATIF

APA yang orang Melayu boleh cakap dan boleh buat bagi menyatakan ia ada dan masa depannya terbela? Apa yang Islam boleh cakap bagi menyatakan ia ada dan masa depannya lebih baik dari masa ini?

Orang Melayu itu sejak mengenal politik berorganisasi tidak pernah sepakat. Semuanya mengakui mewarisi sepotong peri bahasa orang tua-tuanya, ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Tetapi ia hanya untuk disebut, tidak dijadikan panduan.

Mungkin manusia itu begitu dan semua bangsa dulu dan sekarang begitu, mewarisi anak Adam dan Hawa, Qabil dan Habil yang seibu sebapa, tidak sehaluan berakhir dengan Qabil bunuh Habil. China juga demikian. Beperang komunis dan Kaumintang hingga berpecah dua wilayahnya, Tanah Besar China dan Taiwan.

Melayu itu tidak terus terjadi sebagai bangsa yang berbahasa dan berkebudayaan melainkan ada tok neneknya yang membentuk bangsa itu dan menamakannya Melayu dan bernegara. Jika tiada bekerja membentuknya, nescaya tiada Melayu di dunia sekarang.

Demikian juga Islam. Allah tidak jadikan ia terus besar lengkap sebagai agama ad-din. Allah jadi seorang Nabi seorang diri, Muhammad AW di tengah masyarakat jahiliah Arab menyembah berhala. Atas dakwah dan jihadnya Islam jadi agama besar dan dinamik. Jika Islam yang berempayar tidak dipelihara, hancurlah Empayar Uthmaniah menjadi Turki dan beberapa negara umat Islam yang tidak berkuasa, bahkan umat Islam Turki menjadi jahiliah sekular ataturkis, sudah hampir 100 tahun ia belum jadi seperti Islam zaman Uthmaniah.

Umat Islam Malaysia pasca merdeka menangisi perbedaan orang Melayu dalam PAS dan umno tanpa mengkaji dari sudut Islam mengapa mereka tidak bersama dan bagaimana pula boleh bersama. Kerana Islam mereka tidak dapat bersama dan kerana Islam pula mereka boleh bersama.

Orang Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan memperjuang hak berbahasa tunggal, hak ekonomi, pendidikan, beraja dan lain-lain. Justeru mereka tidak pernah bersama, semuanya seolah-olah tidak dapat dicapai dan payah dipertahankan.

Islam pula tidak terus terpelihara jika ia tidak diamal, didakwah dan ditarbiah. Amal, dakwah dan tarbiah itu adalah tuntutan dan ciri beragama. Jika ia diabaikan individu Islam boleh murtad, liberal dan plural, semuanya melumpuhkan Islam.

Kebanyakannya merasa mereka sudah sedar. Bagi yang sedar itu sekata perlunya penyatuan ummah. Dengan penyatuan yang Umno dan PAS setuju itu boleh menjadikan yang berjuang lama dalam Islam bertambah kuat daya juang Islamnya dan yang tidak meletakkan Islam sebagai garis daya juangnya, tumbuh meluas rasa dan seruan agamanya.

Bagi yang tidak sedar merasai memadai dengan Islam yang ada, cukup sekadar solat, puasa dan haji, cukup dengan dicatatkan dalam perlembagan Islam itu agama rasmi, dan cukup al-Quran itu dibaca dan khatam, tetapi kandungan dan ajarannya dibiarkan. Dengan Islam yang ada itu Islam cukup ia terpelihara.

Pada program penyatuan ummah itu mereka bantah ratifikasi Statut Rom, ratifikasi menyamaratakan semua perkara agama, kaum dan kesukuan yang dirasakan Islam tiapa lebih dan tiada daulat. Bila membantah, siapa cakap tentang Melayu jadi rasis dan siapa cakap tentang islam jadi pelampau agama.

Habis apa yang Melayu hendak cakap tentang bangsa? Apa Islam hendak cakap tentang agamanya? Tidak memadai sekadar rajin, kaya kalau Melayu jadi Palestin dan Islam diperintah, tidak memerintah. Hendak buat apa supaya tidak dikata rasis dan ektremis? – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: