Jumaat, 10 Mei 2019

Awan lindungi perjalanan Opick bawa pulang 'rambut Rasulullah'

MALAYSIAKINI

   

Ada perkara luar biasa didakwa berlaku ketika penyanyi Opick membawa pulang seurat 'rambut Nabi Muhammad' yang dihadiahkan pemerintah Turki dan pertubuhan agamawan baru-baru ini.

Keajaiban itu diceritakan isteri Opick, Bebi Silvana, dengan disertakan klip video yang dimuat naik ke akaun Instagram miliknya.

Bebi mendakwa, sepanjang tempoh mereka membawa rambut yang berusia lebih 1,400 tahun itu, awan-awan melindungi perjalanan berkenaan.

“Ada hal yang mengagumkan iaitu sepanjang kami membawa rambut Rasulullah, awan melindungi kenderaan, baik di darat mahupun di udara,” katanya.

Terdahulu, Opick berkata, dia terbang ke Turki bagi mengesahkan ketulenan rambut berkenaan.

Berkongsi lanjut pengalaman itu, Bebi berkata, proses penyerahan rambut berjalan lancar.

“Kemuliaan buat Opick dan Indonesia diberi amanah untuk menjaga sehelai rambut Rasulullah SAW dari Dewan Mursyid Antarabangsa di Turki.

“Kami disambut oleh para muhibbin dan media di lapangan terbang Soeta (Soekarno-Hatta) pada waktu siang dan subhanallah proses berjalan tanpa tergendala.

“Apa pun sorak gembira dengan selawat mengiringi kedatangan rambut Rasulullah,” katanya.

Bebi juga berharap rambut diberikan kepada suaminya itu dapat menjadi tanda penyatuan bangsa Indonesia.

“Rahmat Allah buat rakyat Indonesia dan tanah air. Semoga ini jalan untuk menyatukan bangsa Indonesia yang sedang berselisih satu dengan lain,” katanya.


Tiada ulasan: