KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli diberikan tempoh selama
tujuh hari untuk segera memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman juga turut meminta Rafizi menarik balik kenyataannya yang
mendakwa kononnya beliau memberi kontrak Ekspo Negaraku 2017 kepada
'abangnya', Noor Raslan Md Dahlan.
Abdul Rahman berkata, peguamnya sudah menyerahkan surat tuntutan
berhubung kedua-dua perkara itu kepada wakil Rafizi semalam dan tindakan
lebih serius akan dilaksanakan jika Ahli Parlimen Pandan itu gagal
memohon maaf serta menarik semula tuduhan palsunya.
Katanya, tindakan itu dilakukan selepas meneliti pandangan peguamnya
susulan tindakan Rafizi membuat tuduhan itu pada 11 Disember tahun lalu
yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasminya.
"Setelah meneliti pandangan undang-undang yang diberikan peguam saya,
saya mengarahkan peguam memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi
Ramli.
"Sekiranya Rafizi Ramli gagal mematuhi surat tuntutan itu dalam tempoh
ditetapkan, saya akan mengarahkan peguam memfailkan saman fitnah
terhadap Rafizi Ramli," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada 11 Disember tahun lalu, Rafizi melalui akaun Facebook rasminya
antara lain mendakwa Abdul Rahman memberi kontrak Ekspo Negaraku 2017
kepada 'abangnya' Noor Raslan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd.
Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit video tuduhan itu dimuat naik, rakaman berkenaan dipadamkan.
Abdul Rahman menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak memiliki
pertalian darah dengan Noor Raslan, selain mempunyai bukti Rafizi
menghubungi Noor Raslan sebaik selesai sidang medianya menerusi mesej
Facebook dan bertanya sama ada Noor Raslan adalah abangnya.
Abdul Rahman berkata, peguamnya, Tetuan Raja Riza & Associates
gagal menyerahkan surat tuntutan bertarikh 5 Januari kepada Rafizi
secara terus pada hari berkenaan dan 8 Januari kerana Ahli Parlimen
Pandan itu tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.
"Surat tuntutan berkenaan diterima oleh Mohd Shariffudin, dipercayai
kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan (pada 8 Januari)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan