NIBONG TEBAL: Kes seorang guru Noor Idzahril Ahmad, 52, yang didakwa
memukul muridnya pada Ogos lalu, ditangguhkan pada 19 Februari depan
oleh Mahkamah Majistret Jawi di sini, hari ini.
Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh itu selepas
pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan yang sepatutnya
diserahkan hari ini.
Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Noor Idzahril berkata,
pihaknya memohon kes dilepas tanpa dibebaskan berikutan pihak pendakwaan
gagal menyerahkan laporan perubatan pada sebutan semula kes kali
ketiga.
"Asas permohonan kami adalah Seksyen 323 Kanun Keseksaan perlu ada
elemen kecederaan tetapi sehingga sekarang, pihak pendakwaan masih gagal
menyerahkan laporan perubatan.
"Ini bermakna pertuduhan adalah pramatang. Justeru, kami mohon Noor
Idzahril dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan," katanya dilaporkan
BH Online.
Noor Idzahril yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan
(SK) Sungai Acheh, dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi pada 11
Disember lalu kerana didakwa memukul seorang murid Tahun Tiga SK Sri
Sentosa pada 2 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes, Noor Idzahril didakwa memukul murid berkenaan
selepas dia berbuat bising ketika Noor Idzahril sedang mengajar di kelas
bersebelahan.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh
dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau
kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir.
Kisah Cikgu Noor Idzahril mendapat perhatian netizen sejak beberapa
minggu lalu, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan
sokongan disampaikan menerusi tanda pagar #pray4cikguidzahril.
Sementara itu, lebih 100 penyokong Noor Idzahril termasuk beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di perkarangan
mahkamah bagi memberikan sokongan moral kepada beliau.
Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan