PAS berkata ia merupakan strateginya kerana percaya 2 lagi calon lain ialah daripada DAP dan MCA.
Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Roslan Mohd Shahir berkata, parti itu akan meletakkan calon berbangsa Melayu dalam usaha menarik hampir 40% pengundi berbangsa Melayu di kawasan berkenaan.
“Kita akan letak calon Melayu untuk pastikan calon bukan Melayu dengan bukan Melayu lawan, kita pula letak calon Melayu. Strategi kita untuk tarik pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, semua itu bergantung sama ada Pakatan Harapan (PH) akan membenarkan DAP untuk bertanding semula di kerusi itu.
Pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, PPBM akan mewakili gabungan itu di Sungai Besar.
Beberapa PRU sebelum ini menyaksikan kerusi Sekinchan ditandingi satu-lawan-satu, antara MCA dan DAP.
DAP menang kerusi itu pada 2004 melalui Ng Suee Lim, dengan majoriti tipis 344 undi menewaskan Datuk Chia Chim Lem. Bagaimanapun, Ng memperoleh majoriti lebih besar pada PRU 2008 dan 2013.
Roslan yakin orang Melayu di Selangor akan menyokong PAS kerana sedar “percaturan politik” dimainkan DAP.
“Dulu kita bantu DAP, sebab itu bukan sahaja ia dapat undi Cina tetapi juga undi bangsa Melayu,” katanya sambil menambah yang orang Melayu “tidak berapa berkenan” dengan cara politik DAP.
PAS berkata ia juga akan meletakkan calon di 2 lagi kerusi negeri iaitu Sungai Panjang dan Sungai Besar.
“Kita akan letak anak tempatan di semua kerusi itu,” sambil berkata Ng berdepan kesukaran kerana bukan merupakan anak tempatan.
Sungai Panjang pernah diwakili bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo. Kerusi DUN itu dipercayai akan ditandingi Amanah pada pilihan raya akan datang.
Di peringkat Parlimen Sungai Besar, Ng mengakui ia merupakan kubu BN.
“Tetapi tidak selamanya ia akan menjadi kubu kuat,” katanya kepada FMT.
Sungai Besar kekal dengan BN selepas pilihan raya kecil pada 2016, yang menyaksikan Amanah buat pertama kali bertanding, dalam pertandingan 3 penjuru yang turut disertai PAS.
Calon BN, Budiman Mohd Zohdi bagaimanapun menewaskan kedua-dua mereka dengan majoriti selesa 9,191 undi.
Ng bagaimanapun berkata pilihan raya kecil itu berlaku pada ketika politik PAS masih samar di sebalik perpecahan dalaman.
“Dahulu, Amanah baru sahaja ditubuhkan dan kecenderungan PAS terhadap Umno pula masih samar,” katanya.
“Tetapi kini mereka sudah bekerjasama secara tidak langsung kepada Umno.”
Menurutnya, kehadiran PPBM juga mengubah suasana.
“Walaupun getir untuk 3 penjuru, tetapi kita yakin PH mempunyai peluang yang baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan