Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PPBM beranggapan parti itu sudah 'menyelesaikan' isu
pelanggaran perlembagaan parti selepas mengadakan Mesyuarat Agung
Tahunan (AGM) minggu lalu.
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata kini terserah
kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk sama ada untuk mengiktiraf atau
tidak mesyuarat berkenaan.
RoS sebelum ini berkata PPBM perlu mengadakan AGMnya jika tidak mahu pendaftaran partinya dibatalkan.
"Pada pandangan dan fahaman kita, kita telah menyempurnakan tuntutan di
dalam perlembagaan dan juga apa yang diminta oleh RoS, jadi sekarang
ini kita dah buat (AGM) jadi itu terserah kepada RoS untuk bagaimana ia
ingin memutuskannya.
"Jadi bagi kita, kita dengan mengambil kira suasana yang ada dalam PPBM
sekarang ini, jadi ini yang kita kira paling dekat dengan kehendak
perlembagaan dan juga dengan kehendak RoS," katanya kepada Antarapos.
Minggu lalu PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan
daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Menurut RoS, PPBM perlu mengadakan AGMnya berikutan parti itu sudah
mencapai umur setahun penubuhannya, sepertimana yang tercatat dalam
perlembagaan parti.
Jika gagal berbuat demikian pendaftaran PPBM boleh dibatalkan berikutan ia terikat dengan keperluan perlembagaan.
PPBM sebelum itu enggan mengadakan AGM berikutan banyak Bahagian dan
Cawangan partinya belum ditubuh dan didaftarkan dengan RoS.
Selain gagal mengadakan AGM, PPBM juga melanggar perlembagaan parti apabila menangguhkan mesyuarat tahunan itu sesuka hati.
PPBM juga melanggar perlembagaan apabila menggunakan nama Armada bagi sayap pemudanya.
Mengulas perkara itu, Kamaruddin berkata pihaknya akur dengan arahan RoS.
"Semuanya pemuda, apabila sahaja kita dapat larangan daripada RoS
daripada menggunakan perkataan Armada jadi kita sudah tidak guna dan
ikut arahan RoS jadi bila ia (RoS) kata tidak boleh, kita terima dan
tidak menggunakan perkataan itu (Armada), dah lama juga kita tidak guna.
"Kita sudah akur (tidak menggunakan istilah Armada), oleh kerana RoS
kata kita tidak boleh guna istilah Armada, jadi kita tidak guna dan kita
hanya pakai Pemuda. Kita kira sudah sempurna dan sudah sah," ujarnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan