Jumaat, 12 Januari 2018

Peguam pohon kes bunuh T Nhaveen dipindah ke Mahkamah Tinggi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan tarikh 26 Februari depan untuk pengurusan kes empat remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang remaja, T Nhaveen, Jun tahun lepas.
 
Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin memaklumkan kepada mahkamah, laporan kimia dan perubatan mangsa telah diterima.
 
Peguam mewakili keluarga mangsa, Datuk Baljit Singh, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, memberitahu pihak pendakwaan bagi kes itu, akan memfailkan permohonan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
 
Ibu mangsa buli itu kelihatan turut hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun ketika kejadian. 
 
Ahli keluarga keempat-empat tertuduh juga hadir pada prosiding hari ini.
 
Pengamal media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah kerana ia melibatkan kes juvana.
 
Pada 19 Jun tahun lepas, empat remaja termasuk dua pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 pada masa itu, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen.
 
J Ragesuthen dan S Gokulan yang masing-masing berusia 18 tahun ketika itu, serta dua lagi remaja lelaki didakwa melakukan perbuatan tersebut secara bersama antara 11.00 malam dan 12.30 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor pada 9 Jun tahun lepas.
 
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
 
Nhaveen, 18, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, dekat sini, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur.
 
Rakannya, T Preevin, 19, dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri mendapatkan bantuan.
 
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Hakim Irwan Suainbon menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes bagi empat remaja terbabit yang menghadapi pertuduhan mencederakan Preevin.
 
Irwan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul memberitahu mahkamah pihaknya sudah menerima semua laporan perubatan dan kimia mangsa serta memohon satu tarikh sebutan bagi serahan kesemua dokumen tersebut.
 
Kesemua tertuduh kini ditahan di Penjara Juvana Sungai Petani, didakwa mencederakan Preevin di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
 
 

Tiada ulasan: