Jumaat, 12 Januari 2018

Menang dulu baru siasat PM 'sekejap'?

DETIK DAILY

 
Oleh HUZIR SULAIMAN
SAYA ingin memetik laporan media pada 26 Julai tahun yang lalu bahawa Pakatan Harapan sedia menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat skandal pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri seperti yang didesak "Otai Reformasi".

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menjulang Putrajaya, saya dan rakyat marhaen yang lain tertanya-tanya bagaimanakah sebuah Kerajaan yang dipimpin seorang Perdana Menteri akan diheret oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinetnya sendiri ke suruhanjaya yang berkaitan, dan bagaimana pula seorang Perdana Menteri yang berkuasa ketika itu, lebih-lebih lagi Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mudah merelakan dirinya dibicarakan di hadapan sebuah Jawatankuasa suruhanjaya yang akan ditubuhkan olehnya sendiri hanya kerana beliau sendiri mahu dirinya disiasat?.
Bukankah ini Pelik dan Gila?

Setahu saya, sebuah Suruhanjaya Bebas malah Suruhanjaya DiRaja memerlukan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri untuk mengadap serta memohon perkenan daripada Yang Di Pertuan Agong.

Daripada rekod pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, saya tertanya-tanya kenapakah DS Wan Azizah dilihat begitu mudah untuk mempercayai Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Tun akan pasti menyokong saranan yang telah dibuat beliau kepada "Otai Reformasi" apabila berkuasa nanti, malah lebih lucu, pelik dan ajaib juga apabila ada dari kalangan "Otai Reformasi" yang mempercayai cadangan calon Timbalan Perdana Menteri itu dengan menyokong pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri di Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini.

Yang pasti, pemimpin Pakatan Harapan telah menzahirkan satu sikap 'bias' atau berat sebelah dalam soal keadilan apabila mengambil sikap untuk menangguhkan desakan agar skandal-skandal yang melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat diadili dengan segera walaupun mereka tahu kerajaan yang adil dan saksama kepada rakyatnya memerlukan mereka untuk tidak sesekali memilih bulu apabila melibatkan salahlaku terhadap kepentingan rakyat, walaupun melibatkan rakan politik, ahli keluarga dan sanak saudara.

Lihatlah sendiri sikap bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap besannya sendiri kerana tuduhan rasuah, jauh sekali untuk menangguhkan proses keadilan terhadap saudaranya itu walaupun beliau adalah pemimpin yang paling berkuasa di negara itu. – 
 
 

Tiada ulasan: