Jumaat, 12 Januari 2018

Amanah mahu tanding di 35 kerusi Parlimen sahaja

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah hanya akan dihormati jika bertanding di sekurang-kurang 35 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia, tegas Pengarah Pilihan Rayanya, Dr Hatta Ramli.
 
Beliau berkata Amanah mahu menyumbang sebanyak mungkin kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) sepertimana parti komponennya yang lain.
 
"Untuk Amanah jumlah kerusinya kita masih lagi berunding di Sabah Sarawak. Jadi kalau tidak ada aral melintang kerusi menjangkau 35 di seluruh negara. Satu jumlah yang dihormati. 
 
"Saya nak sebagai satu harapan bahawa berapa juga angka kerusi yang diberikan kepada Amanah kita akan jayakan semuanya atau sebanyak mungkin. Agar PH boleh menjadi kerajaan yang kukuh selepas PRU14," katanya dalam sidang media di Wisma Amanah, hari ini.
 
Amanah sebelum ini mendapat hanya 27 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (RU14) - jumlah paling sedikit berbanding PPBM (52), PKR (51) dan DAP (35).
 
Keputusan agihan kerusi itu menyaksikan Amanah di peringkat negeri (Johor, Perak, Melaka dan Pahang) menyatakan rasa kecewa mereka. 
 
Pimpinan tertinggi Amanah bingkas memberi jaminan akan menuntut lebih banyak kerusi DUN pada PRU14. 
 
Dalam pada itu, Hatta berkata jika partinya berjaya memenangi kesemua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan padanya, ia adalah pencapaian terbaik berbanding parti leluhurnya, PAS.
 
"Parti berusia 2 tahun bertanding 27 kerusi dalam pilihan raya. Tambahan beberapa angka di Sabah Sarawak yang saya tidak boleh dedahkan sebab kita belum bincang. Itu sangat dihormati.
 
"Yang penting menang di 27 kerusi, Kalau menang semua kerusi ini, ia sesuatu yang boleh dihormati berbanding parti lama. Pencapaian terbaik parti lama adalah pada PRU 1999. Itulah kerusi paling banyak yang dimenangi mereka," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: