MELAKA: Dua penjenayah warga asing ditembak mati selepas berbalas
tembakan dengan polis dalam satu cubaan pecah masuk sebuah pasar raya di
Bandar Baru Sungai Udang, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, suspek masing-masing
dipercayai warga asing berusia lingkungam 30-an mati di tempat kejadian
manakala seorang lagi rakan mereka dapat melarikan diri ke kawasan semak
berhampiran pasar raya tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hasan berkata, seorang suspek
bersenjata pistol itu terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan
manakala seorang lagi melibas parang ke arah pihak polis biarpun telah
diberi amaran.
“Hasil risikan dan maklumat awam, polis telah melakukan rondaan di
tempat kejadian dan mendapati tiga suspek itu menaiki sebuah kereta
jenis Honda City tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di
kawasan pasar raya terbabit.
“Pihak polis telah mengejar dan mengepung kawasan itu selain memberi
amaran supaya menyerah diri namun tidak diendahkan sebaliknya mereka
melepaskan tembakan serta melibas parang ke arah pasukan polis,” katanya
dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini
sebentar tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit dipercayai
terlibat dalam jenayah ‘Op Tebuk’ dan aktif melakukan pecah masuk dan
samun di kedai emas dalam pasar raya dan kilang di beberapa negeri
antaranya Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Melaka.
“Polis turut menemukan beberapa senjata berbahaya di dalam kereta
seperti parang dan senjata tajam lain serta sejumlah wang yang belum
dianggarkan nilainya,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Tambah Abd. Jalil, kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan