BUTTERWORTH: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid
mengumumkan beliau akan melepaskan kerusi DUN Telok Air Tawar yang
disandangnya sejak 1999 bagi memberi laluan kepada calon muda pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Jahara memaklumkan, sebelum ini beliau pernah menyatakan hasrat
berkenaan termasuk enggan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Tetapi ia terbantut kerana Perdana Menteri yang juga Presiden Umno,
Datuk Seri Najib Razak mahu beliau menjadi calon pada PRU13.
Beliau berkata, sudah tiba masanya beliau melepaskan kerusi
disandangnya sejak lima penggal lalu, selain mengakui DUN Telok Air
Tawar memerlukan calon baru yang lebih muda dan mempunyai ciri
kepemimpinan yang baik.
"Saya selaku Ketua Wanita Umno kawasan ini bersedia bekerja dan
membantu mana-mana calon muda yang bertanding termasuk memberi nasihat
serta tunjuk ajar.
"Sudah lama saya memegang jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan ini
dan berharap dapat memberi peluang kepada orang lain terutamanya kepada
calon muda," katanya selepas Program Touchpoint Cabinet Away Day 2.0
anjuran Politeknik Seberang Perai (PSP) di Permatang Binjai dekat sini,
hari ini.
Pada program itu, seramai 40 pelajar dan 15 pensyarah PSP dari Jabatan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi membantu menyelenggara serta membaik
pulih lima rumah yang sudah uzur di kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jahara berkata, beliau berterima kasih kepada Barisan
Nasional (BN) dan Umno yang sentiasa memberi peluang kepadanya
berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
"Saya akui menjadi wakil rakyat bukan sesuatu yang mudah, tetapi syukur
sejak lapan hingga sembilan tahun kebelakangan ini banyak perubahan dan
rancangan dilaksanakan di kawasan ini.
"Paling bermakna apabila saya dapat membawa projek membina hampir 200
gerai untuk ruang niaga di sini, sekali gus membantu penjaja kecil
mendapatkan tempat lebih selesa dan mematuhi peraturan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan