SAYA terbaca satu tulisan seorang doktor perubatan
yang runsing dengan lambakan pekerja asing dalam negara kita. Tambah
beliau, pekerja asing yang membuat pemeriksaan kesihatan tidak melepasi
tahap kesihatan sebelum masuk negara kita. Kes yang beliau temui bahawa,
beliau cuba diberi rasuah untuk menutup keputusan x-ray yang telah
dilakukan. Pemeriksaan x-ray tersebut dikhuatiri pesakit dijangkiti
kuman tuberkulosis. Dakwa beliau lagi beribu-ribu kes yang terlepas
masuk dalam negara kita. Para pekerja asing bebas di selinap tempat yang
mungkin boleh membahayakan kesihatan orang lain jika mereka itu positif
TB, hepatitis B.
Tidak kurang juga ramai dalam kalangan netizen yang menaruh
kebimbangan dijangkiti penyakit berjangkit yang merbahaya seperti TB,
hepatitis, kepialu, HIV dan lain-lain lagi akibat kesangsian mereka
terhadap sistem pemeriksaan kesihatan yang tidak telus. Para pekerja
asing bebas bergerak di sekeliling kita terutamanya di pusat membeli
belah dan restoran. Anggapan mereka lagi bahawa terdapat doktor-doktor
yang sanggup menerima rasuah untuk meluluskan tahap kesihatan.
Mempertaruhkan nyawa anak bangsa dek kerana kepentingan peribadi
sehingga sanggup melakukan hal terkutuk sedemikian. Begitu juga dengan
vaksin BCG yang mereka mengatakan bahawa para pekerja asing tidak diberi
vaksin, justeru boleh menjadi punca wabak.
Beberapa pernyataan yang boleh kita ambil perjalanan bersama bagi mengatasi masalah ini.
1) Pencegahan jangkitan TB dalam kalangan dewasa bergantung kepada
kaedah pergaulan, menjaga kebersihan diri dan etika ketika batuk. Selain
itu, kita dianjurkan menjaga cara hidup sihat agar terhindar dari
penyakit yang boleh mengurangkan sistem pertahanan badan seperti kencing
manis, kegagalan buah pinggang, HIV dan seumpamanya. Ini kerana sistem
pertahanan badan yang rendah akan meningkatkan risiko jangkitan kuman
TB.
2) TB Paru-paru pula adalah kategori yang paling kerap berlaku. Ianya
senang dijangkiti melalui pernafasan. Orang yang positif TB paru-paru
berisiko menyebarkannya kepada sanak saudara, rakan taulan yang rapat
semasa bergaul. Kajian mendapati tempoh efektif antara 4 hingga 8 jam
seseorang yang bergaul rapat dengan pesakit TB paru-paru berisiko tinggi
untuk dijangkiti. Ia juga bergantung kepada tahap sistem pertahananan
badan, pengudaraan tempat pergaulan tersebut dan amalan langkah-langkah
pencegahan. Risiko semakin tinggi jika seseorang itu mempunyai kencing
manis dan HIV.
3) Adalah dinasihatkan juga para pesakit yang positif TB paru-paru
agar mematuhi etika batuk. Di mana semasa batuk hendaklah ditekup hidung
dan mulutnya, paling tidak dengan sehelai tisu muka. Paling baik,
sepanjang tempoh rawatan intensif (biasanya 2 bulan pertama), pesakit
dikehendaki memakai topeng muka. Elakkan berada di tengah khalayak ramai
atau tempat yang terkurung bersama dengan orang ramai. Bagi pesakit
yang bekerja pejabat, pihak doktor akan berikan cuti sakit dalam tempoh
yang munasabah. Di pejabat biasanya sistem penghawa dingin yang berpusat
memudahkan lagi pengedaran udara yang tercemar. Penyakit lain seperti
hepatitis B, penyakit kelamin tidak sesekali boleh berjangkit dengan
pengudaraan dan pernafasan.
4) Setakat ini tiada lagi kes yang dilaporkan jangkitan TB paru-paru
diperolehi dari para pekerja Bangla, Nepal, Indonesia dan lain-lain.[1]
Tidak semudah itu ingin menuduh mereka menghidapi TB dek kerana mereka
tidak ambil vaksin BCG. Lagipun kedai kopi atau restoran agak terbuka.
Kita makan atau membeli pun tidaklah sampai melebihi 4 jam di sesuatu
kedai. Malah kita bukan bergeseran badan dengan mereka sehingga
mendengar hela nafas dikeluarkan. Walau bagaimanpun, jumlah pengidap TB
dalam kalangan para pekerja asing itu sendiri meningkat. Tahun lepas
sahaja dicatatkan sebanyak 12% jumlah pesakit TB dalam Malaysia adalah
warga asing.[2] Peningkatan ini mungkin boleh dikaitkan dengan
pemeriksaan kesihatan yang agak longgar terhadap pekerja asing. Ramai
juga dalam kalangan mereka yang masuk ke Malaysia secara haram. Keadaan
ini semakin merumitkan pihak berwajib untuk memantau status pemeriksaan
kesihatan mereka.
5) Langkah tuntas telah dijalankan oleh pihak berkuasa, iaitu dengan
memperkenalkan sistem pengecaman biometrik. Sistem ini telah dilancarkan
oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali pada bulan Ogos
tahun lepas. Beliau berkata sistem pengecaman biometrik itu akan menjadi
lapisan kedua saringan pekerja asing yang bekerja di negara ini.[3]
Katanya lagi, sistem saringan kesihatan biometrik itu akan memastikan hanya pekerja asing yang sihat bekerja di negara ini.
"Kita dapati beberapa peratus pekerja asing yang guna orang lain
untuk tujuan saringan kesihatan. Kita tidak kompromi kalau ada
pemalsuan".
Tahun 2017, seramai 407,890 pekerja asing melalui pemeriksaan
saringan kesihatan dari Januari hingga Jun. Daripada jumlah itu,
sebanyak 10,618 atau 2.6 peratus pekerja asing gagal saringan kesihatan
dengan majoritinya mengidap tibi, hepatitis B dan STD (penyakit
jangkitan seksual)
Pekerja asing dari Indonesia menduduki tangga teratas tidak lulus
saringan kesihatan dengan mencatat 3,129 kes, Nepal (3,021) diikuti
Bangladesh (1,643).
Pekerja asing yang gagal saringan kesihatan akan dihantar pulang ke negara masing-masing.
6) Melalui sistem itu, pekerja asing perlu melakukan pengecaman cap
jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik
yang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan
Pekerja Asing (FOMEMA). /oleh kerana itu menjadi tugas penting kepada
klinik-klinik swasta yang telah dilantik agar telus dalam melaksanakan
Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing.
7) Jika para doktor mendapati seseorang pekerja asing tersebut
dijangkiti penyakit berjangkit, wajib mereka membuat pelaporan
(notifikasi) kepada pihak berkuasa kesihatan dalam tempoh segera.
Notifikasi kes ini termaktub dalam akta di bawah seksyen 10 Akta
Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Terdapat 24 penyakit
yang wajib dibuat pelaporan. Selain dari Notifikasi Bertulis, penyakit
berikut perlu dinotifiksi melalui telefon dalam tempoh 24 jam iaitu:
Acute Poliomyelitis, Cholera, Dengue, Diptheria, Ebola, Food Poisoning,
Plague, Rabies dan Yellow Fever.[4] Jika tidak berbuat demikian penalti
akan dikenakan mengikut akta yang sama.
Kesimpulan: Masyarakat awam tidak perlu risau dan panik dengan
pendedahan yang dilakukan. Sistem yang dibangunkan, kawalan yang dibuat
dari masa ke semasa oleh pihak berkuasa dan akta yang boleh mengikat
pihak berkenaan, seutuhnya akan menjamin penjagaan kesihatan maksimum.
Sekian komentar dari suhazeli.com
Pautan
[1] Negara tinggi penyakit TB. http://www.stoptb.org/countries/tbdata.asp
[2] TB dikalangan warga asing. http://today.mims.com/topic/tb-on-the-rise-in-malaysia-due-to-undocumented-migrant-workers
[3] Sistem pengecaman biometrik. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/307639/sistem-biometrik-saring-kesihatan-pekerja-asing
[4] Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. https://www.yumpu.com/id/document/view/29329495/akta-342-akta-pencegahan-dan-pengawalan-penyakit-berjangkit-1988
Tiada ulasan:
Catat Ulasan