Selasa, 9 Januari 2018

Dr M calon pilihan PM terbaik, sindir Zahid

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyindir keputusan Pakatan Harapan (PH) yang memilih Tun Dr Mahahtir Mohamad sebagai calon perdana menteri adalah "tepat" jika mereka menang pilihan raya akan datang.
 
Malah beliau yang menyifatkan Pengerusi PPBM itu sebagai calon kitar semula, dan didakwa akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan terhadap negara sepanjang memerintah negara 22 tahun dahulu.
 
“Resolusi yang dibuat Pakatan Harapan dalam perhimpunan mereka adalah resolusi yang tepat, cukup baik, dan kena pada tempatnya sebab tokoh itu adalah tokoh yang cukup berjasa kepada negara selama 22 tahun.
 
“Insya-Allah kalau beliau diberi tempat semula, maka kesalahan-kesalahan yang terlebih dahulu akan diulangi oleh beliau.
 
“Itu adalah satu kitar-semula yang memang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain yang lebih layak dalam Pakatan Harapan selain tokoh yang cukup berjasa kepada negara itu untuk melakukan kerosakan dan kesalahan kepada negara,” katanya.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah hari ini, yang dianjurkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Tiada ulasan: