KESEDIAAN Amanah untuk menyerahkan kerusi Titiwangsa di Kuala Lumpur
kepada Bersatu menyelesaikan pembahagian kerusi dan membolehkan Pakatan
Harapan (PH) menganjurkan konvensyennya Ahad lepas.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang terlibat dalam
perbincangan itu berkata perundingan menemui jalan buntu apabila semua
parti bertegas mempertahankan kerusi masing-masing.
Pada petang Sabtu 6 Januari, isu pengagihan kerusi masih tidak selesai sedangkan konvensyen akan diadakan pada keesokannya.
Khalid berkata semua persediaan siap dilakukan namun tanpa
persetujuan berhubung agihan kerusi dan ia akan menyebabkan pengumuman
berhubung selesainya agihan kerusi tidak boleh dibuat.
Beberapa pengumuman juga akan turut tertangguh yang akan menjadikan konvensyen itu sendiri tidak bermakna, katanya.
"Selepas mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR
menyerahkan kerusi Lumut kepada Amanah, kita setuju lepaskan
Titiwangsa," kata Khalid.
Dengan itu segala dokumen yang disediakan dapat ditandatangani dan
konvensyen diteruskan dengan dibuatnya segala pengumuman yang telah
dirancang, katanya.
Kesediaan Amanah berkorban itu mendapat pujian khas dari Pengerusi PH
Dr Mahathir Mohamad ketika memberikan ucapan dalam konvensyen itu.
"Yang menjayakan agihan parti ini (PH) adalah Amanah," kata Dr Mahathir dalam ucapannya di konvensyen itu.
Kerusi Temerloh
Penganalisis berkata kejayaan Amanah mendapat kerusi Temerloh yang
menjadi rebutan semua parti dalam PH adalah bukti keberkesanan “team
negotiator” Amanah walaupun akhirnya mendapat kerusi paling sedikit
iaitu 27 saja.
Walaupun paling sedikit tetapi terbukti kerusi yang diperoleh
mempunyai potensi untuk dimenangi dalam pilihan raya nanti, kata
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.
"Kerusi Temerloh yang akhirnya diperlaki Amanah, walaupun Saifuddin
Abdullah dari PKR calon yang kuat untuk kerusi itu menunjukkan
keberkesanan ‘team negotiator’ Amanah dan kesediaan rakan mereka dalam
PH untuk menerima dan memberi," kata Mazlan.
Kerusi Temerloh menjadi rebutan semua parti dalam PH khasnya PKR dan
Bersatu. Ia dimenangi oleh calon PAS, Nasrudin Hassan dalam PRU lalu.
"Kerana antara asas perundingan kita kerusi PAS untuk Amanah, maka
kerusi Temerloh diperoleh oleh Amanah walaupun dituntut oleh PKR dan
Bersatu," kata Khalid.
Khalid berkata asas rundingan pembahagian kerusi pada awalnya adalah
Amanah mengambil kerusi yang dimenangi PAS manakala Bersatu bertanding
di kerusi Umno.
Penyandang pula termasuk PKR dan DAP akan kekal di kerusi masing-masing.
Asas kepada rundingan inilah antara punca Amanah terpaksa melepaskan
kerusi Titiwangsa kepada Bersatu kerana ia dimenangi Umno dalam pilihan
raya lalu.
Amanah sebelum ini pernah mencadangkan formula di mana masing-masing
mendapat 25% campur atau tolak 5% daripada jumlah 165 kerusi
keseluruhannya.
"Dengan formula ini maka jumlah minima kerusi 33 dan maksima 50.
Maka PKR dan Bersatu kira-kira 50 kerusi manakala DAP kekal dan Amanah
33," kata Khalid.
Namun formula ini ditolak atas sebab tertentu.
Susulan pembahagian kerusi itu di mana Amanah dapat paling sedikit,
perwakilan Amanah Johor memboikot konvensyen itu selepas hanya mendapat
dua kerusi dari 56 kerusi Parlimen di Johor.
Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohamad Hatta Ramli didakwa
meletakkan jawatan termasuk sebagai pengarah pilihan raya Amanah. Namun
sehingga kini ia masih belum disahkan.
Kerusi untuk Amanah
Mazlan berkata beliau menilai sejak dari awal 2017 lagi bahawa kerusi
yang sesuai ditandingi oleh parti Amanah hanyalah di antara 25 hingga
35 kerusi.
Bagaimanapun katanya, secara strategiknya Amanah lebih sesuai bertanding tidak lebih dari 30 kerusi di Semenanjung Malaysia.
"Namun dalam konvensyen semalam, Amanah akhirnya memperoleh 27, dan
angka itu bagi saya sesuai dan ideal bagi sebuah parti muda yang
sifatnya berbeza dengan ciri parti serpihan Umno, iaitu Bersatu,"
katanya.
Namun katanya, Amanah wajar diberi sekurang-kurangnya satu kerusi di
Wilayah Persekutuan dan penambahan satu atau dua kerusi lagi di Johor
memandangkan pengaruh Amanah agak besar di kedua-dua negeri itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan