KUANTAN: Sepasang suami isteri yang dituduh melakukan penganiayaan
terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pada 5 Oktober
lalu, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
hari ini.
Berikutan itu, Hakim Datuk Unaizah Mohd. menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Mahkamah membenarkan kes tersebut ditangguh selama sebulan bagi
menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA) dan representasi dari pihak pembelaan.
Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Farid Fikri Mohamad, 32, dan isterinya,
Fatimah Muhammad Zain, 37, melalui peguamnya dituduh melakukan dua
kesalahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Shahrul Ekhsan Hassim.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan
itu antara pukul 1 pagi hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu dengan
menganiaya anak wanita berkenaan dengan cara merantainya di bahagian
leher pada sebuah tong gas.
Bagi pertuduhan itu, kedua-kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen
31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)
Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, pasangan itu didakwa antara pukul 8 pagi
hingga pukul 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu melakukan
kesalahan dengan mencapai niat bersama membiarkan mangsa tanpa
mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.
Untuk pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta
Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen
31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan