Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
SHAH ALAM: Seorang bekas pimpinan tertinggi PKR hari ini menyifatkan
Tun Dr Mahathir Mohamad bijak menggunakan peluang disebalik 'kelemahan'
parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam mendapatkan calon
perdana menteri.
Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub berkata, atas faktor itu
menyebabkan Dr Mahathir mampu meletakkan dirinya sebagai calon perdana
menteri.
Bagaimanapun beliau enggan meletakan keyakinan tinggi terhadap
kemampuan Pengerusi PH itu apatah lagi ia hanya bersifat sementara.
"Dr Mahathir bijak memanfaatkan keadaan muafakat parti-parti komponen
yang lain yang tidak dapat mengemukakan dengan tegas calon PM, sehingga
beliau ambil kesempatan atas ruang yang ada itu.
"Sementara sahaja, itulah keadaan yang ada... Saya tak kata itu yang
terbaik, namun itu yang dapat dilakukan seketika oleh PH dalam
menghadapi PRU14," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Menerusi Konvensyen PH yang berlangsung semalam, gagasan itu
mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika mereka menang
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bekas perdana menteri selama lebih 20 tahun itu akan bergandingan
dengan isteri bekas seterunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai timbalannya.
Namun tempoh perkhidmatan Dr Mahathir hanya bersifat sementara
memandangkan gagasan itu akan mengusahakan pembebasan Ketua Umum, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan melantiknya sebagai perdana menteri yang
seterusnya.
Keputusan itu, bagaimanapun mengundang bibit-bibit kecewa di kalangan
pemimpin pembangkang, antaranya Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
yang mempersoal kemampuan pembangkang menamakan calon perdana menteri
sementelah partinya telah berjuang lebih 20 tahun.
Mustafa dalam pada itu kurang yakin dengan kemampuan Dr Mahathir untuk
meyakinkan kesemua parti-parti pembangkang mengadakan pertandingan satu
lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
"Dalam soal menggembleng supaya kita mampu berdepan satu lawan satu
dengan BN. Kelihatannya, soal kemampuan dan kesediaannya untuk berbuat
demikian.
"Elemen kesabaran beliau untuk menyatukan pembangkang agak kurang dan
saya kira, boleh membantutkan kemampuan pembangkang untuk berdepan
dengan BN," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan