Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Penganalisis politik meramalkan Pakatan Harapan (PH) sengaja
mengurangkan agihan kerusi untuk DAP bagi membuktikan kepada pengundi
Melayu bahawa parti itu tidak mendominasi pembangkang selama ini.
Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, agenda itu merupakan percaturan pakatan
pembangkang sebagai usaha untuk menambat hati pengundi Melayu supaya
memberi harapan dan kepercayaan kepada parti teraju Tun Dr Mahathir
Mohamad.
"Ada kebimbangan juga untuk pengundi orang Melayu. Sebab PH dia nak
sokongan orang Melayu untuk PH. Mereka juga melihat orang bukan Melayu
'swing' dia tak banyak. Jadi selagi DAP boleh 'kunci' undi bukan orang
Melayu itu sudah mencukupi bagi mereka. Jadi mereka terpaksa kurangkan
dominan sebab sebelum ini nampak DAP agak dominan, agak lantang bersuara
kritik dalam parti dan sebagainya.
"Tetapi bila ada PPBM sudah ada, nampak PPBM 'overshadow' mengkaburi
peranan dan mengawal DAP. Jadi itu yang jumlah kerusi yang sedikit pun
mereka (DAP) boleh terima berbanding PPBM, PKR," katanya ketika
dihubungi Antarapos hari ini.
Semalam, PH membuat kejutan apabila PPBM muncul sebagai parti yang
diberikan peruntukan kerusi terbesar iaitu 52, sementara PKR mendapat
52, DAP (35) dan AMANAH (27).
Pengumuman itu menimbulkan tanda tanya ekoran PPBM memperoleh kerusi
terbanyak sedangkan hanya menyandang satu kerusi di Dewan Rakyat ketika
ini, selain baru menginjak usia dua tahun sahaja dalam arena
pembangkang.
Pengerusinya Dr Mahathir ketika berucap di Konvensyen PH, walau
bagaimanapun tidak menghuraikan rasional pembahagian kerusi itu namun
akui Amanah - parti serpihan PAS - banyak bertolak ansur untuk
menjayakan rundingan berkenaan.
Pembahagian kerusi itu turut mengundang ketidakpuasan hati Amanah Johor
yang bertindak memulau Konvensyen PH kerana diberi hanya dua kerusi
Parlimen untuk bertanding di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Azizuddin juga tidak menolak kebarangkalian parti
dominasi Cina itu menang kesemua kerusi ditandinginya sekaligus
meletakkan parti itu yang paling berkuasa dalam gabungan pembangkang
berkenaan.
"Dengan jumlah kerusi yang kecil, mungkin mereka kecil tetapi boleh
menang semua. Boleh jadi PPBM bertanding semua itu tidak semestinya
menang semua tetapi mungkin menang 20 katakan. Jadi, boleh jadi juga
majoriti penyumbang terbesar PH.
"Yang ini masih terlalu jauh, kita tidak boleh nampak keadaan sekarang.
Mungkin lepas PRU kita boleh nampak. Sebelum ini macam PKR bertanding
paling banyak tetapi sudahnya DAP yang menang banyak. Jadi DAP banyak
kuasa penentu, suara yang paling banyak dan sebagainya. Dia paling
dominan dalam Parlimen dan ini yang sebabkan PAS tak suka dan keluar,"
tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan