SHAH ALAM: PKR Selangor membantah pengumuman calon perdana menteri dan
timbalannya semalam di Konvensyen Pakatan Harapan (PH) dengan menegaskan
individu yang layak memegang jawatan itu perlu datangnya dari PKR.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan
Ahmad, dengan berkata pihaknya bersetuju untuk tidak bersetuju dengan
pengumuman menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
“Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, PKR
Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan
pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.
“Kini negara sedang berdepan dengan zaman baharu. Golongan millenial
pastinya mahu melihat seorang tokoh segar, kaya dengan buah fikiran yang
berpandangan jauh dan berkesan untuk membawa negara ini keluar dari
kepompong kerosakan yang telah tercipta sekian lama oleh barisan
kepimpinan Umno dan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.
“Rakyat tidak mudah lupa, penggerak asli Reformasi juga tidak akan
lupa. Reformasi total mesti ditegakkan dari semua aspek. Baik sistem,
dasar, pentadbiran dan juga pentadbirnya,” katanya menerusi satu
kenyataan, hari ini.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin juga dalam satu kenyataan
meluahkan rasa kecewanya dengan pengumuman berkenaan, mengaitkan ia
dengan ketidakmampuan pembangkang menamakan seseorang yang layak selepas
20 tahun berjuang.
Konvensyen PH pada semalam mengumumkan Dr Mahathir dan Wan Azizah
sebagai calon perdana menteri dan timbalannya jika pembangkang menang
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bagaimanapun Pengerusi PH itu perlu menyerahkan jawatannya kepada Ketua
Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagasan itu mengusahakan
pembebasannya dan mendapat pengampunan diraja.
PKR Selangor yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menurut
Hizwan menghormati keputusan PH tersebut namun pihaknya tetap mempunyai
pandangan yang berbeza.
“Hampir 20 tahun lalu, kali pertama kalimah Reformasi kita laungkan di
jalan raya, parti ini diuji dengan mehnah dan cubaan pelbagai rupa
disiram cucuran keringat, darah dan air mata.
“Kita juga telah berjaya buktikan keupayaan dan kemampuan parti keramat ini memerintah dengan adil dan saksama.
“Negeri Selangor telah menjadi bukti betapa Keadilan mampu membawa
perubahan dalam pentadbiran yang memacu keamanan dan kemakmuran,”
katanya.
Hizwan dalam pada itu mengatakan bahawa PKR negeri tetap berikrar dan
bersedia untuk mempertahankan negeri itu selain bekerja keras agar
negeri itu kekal di bawah pentadbiran PKR, katanya.
“PKR Selangor menyeru seluruh pendokong tegar reformasi untuk terus bersama-sama menolak Umno dan BN.
“Menuju PRU14, sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya, pelbagai perkara boleh berlaku.
“Kepada Allah kita berserah dan memohon petunjuk dan pertolongan. Membujur lalu melintang patah, lawan tetap lawan!” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan