SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan untuk
mengembalikan majoriti dua pertiganya di Parlimen pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14), kata Merdeka Center.
Badan kaji selidik itu memberitahu hasil dapatannya mendapati undi
popular BN mungkin akan jatuh lagi namun peranan PAS yang dikatakan
bakal tampil membuka ruang kepada pertandingan tiga penjuru pada PRU14
dan pelaksanaan persempadanan semula boleh membawa kejayaan kepada parti
pimpinan Datuk Seri Najib Razak itu.
“BN hanya kurang 13 kerusi untuk dapat semula majoriti dua pertiga di
Dewan Rakyat. Dengan persetujuan antara pembangkang semakin menjauh, BN
berada pada kedudukan untuk mengembalikan dua pertiganya,” kata Pengarah
Merdeka Center Ibrahim Suffian.
“Prospek pembangkang dari nipis ke kosong apabila pemimpin PAS nampak
berminat untuk menghalang kemenangan PH. PAS nampak bersedia membantu
Umno demi memelihara hak politik orang Melayu.”
Merdeka Center berkata dasar dan strategi BN tidak banyak mempengaruhi
sokongan pengundi namun pendirian PAS yang menjarakkan diri dengan
Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan berlakunya pecah undi di kalangan
pengundi Melayu.
Kaji selidik itu juga meramalkan antara negeri yang bakal mengalami
krisis pecah undi adalah Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor
dan Sabah.
Hasil dapatan Merdeka Center juga mendapati persepsi terhadap PH menurun pada Disember tahun lepas.
Angka keseluruhan responden yang berkata mereka “gembira” dengan PH
hanya 21%, sementara pengundi Melayu yang berasakan begitu terhadap
pembangkang 13%.
Pada masa sama, sentimen terhadap kerajaan meningkat sejak September
walaupun mood orang ramai kekal berhati-hati kerana faktor ekonomi dan
politik.
Pada Disember, 37% responden berkata negara ini berada pada landasan hala tuju yang betul sementara 50% tidak bersetuju.
Kaji selidik itu menunjukkan tiga kebimbangan utama rakyat Malaysia
masih lagi inflasi (68%), rasuah (36%) dan peluang pekerjaan (19%).
Kebimbangan lain perumahan, ketidakstabilan politik, pemeliharaan hak
Melayu, kelemahan kepimpinan dan hubungan antara kaum yang menurun.
Bimbang dengan tuduhan terhadap integriti Najib dan skandal 1Malaysia Development Bhd masing-masing hanya 3% dan 2%.
Pembentangan itu berkata kedudukan Najib dalam Umno semakin mengukuh
akibat kekurangan kepimpinan alternatif yang berkelayakan, sentimen
meningkatkan ekonomi dan caranya menayang imej Melayu Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan