Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
SHAH ALAM: Penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai
Aishah mengingatkan Pakatan Harapan (PH) agar tidak hanya 'menggunakan'
artis ketika berkempen untuk meraih sokongan pengundi lebih-lebih lagi
ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bercakap dalam slot 'Pentas Rakyat' mewakili golongan artis, Aishah
yang baru memenangi pertandingan nyanyian Gegar Vaganza 4 (GV4) berkata
golongan artis harus sentiasa diberikan ruang untuk bersuara kerana
mereka juga sebahagian daripada rakyat di negara ini.
"PH perintah tahun ini? Janganlah masa berkempen saja ajak artis. Bila
sudah memerintah dan ada bajet, lupakan kami," seloroh Ahli Jawatankuasa
Amanah itu sambil disambut sorakan perwakilan.
Aishah dalam pada itu juga menyeru golongan artis agar mengambil tahu
perkembangan politik semasa negara, selain mahu mereka berani bersuara
mengetengahkan isu-isu semasa.
Dakwanya juga, tindakan seorang pelakon wanita yang menyatakan
pendapatnya baru-baru ini, tidak wajar dikecam hanya kerana berani
bersuara mengenai isu politik.
"Sampaikan artis bersuara tentang kos kehidpuan saja, tapi disuruh
'pergi betulkan lakonan kau'. Habis itu penyanyi buat apa? Takkan 24 jam
menyanyi?," katanya tanpa menyebut nama artis yang dimaksudkan secara
spesifik, namun dipercayai merujuk kepada pelakon Fathia Latiff.
Fathia sebelum ini memuat naik satu tweet mempersoalkan isu-isu semasa
dan dilihat lantang bersuara berkenaan dasar-dasar kerajaan.
Malah pelakon itu juga dilihat mesra pembangkang dan pernah mewawancara Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tindakan itu mengundang kritikan seorang lagi pelakon yang juga Exco Puteri Umno, Dira Abu Zahar.
Dalam ucapannya ketika Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU 2017) Disember
lalu, Dira berkata, rakyat tidak perlu percaya pada dakyah yang dibawa
oleh Fathia Latiff kerana pelakon tersebut tidak tahu apa-apa mengenai
kerajaan
"Saya tak berani nak kata wakili golongan artis. Tapi saya wakili diri
saya yang menjadi artis selama 30 tahun. Dah lama artis ini tak muncul
di muka televisyen hanya kerana berani.
"Saya seru kepada rakan artis kena ambil tahu kerana setiap keputusan
politik ada kesan. Kena ambil tahu. Kita semua akan rasa kesan daripada
keputusan politik. Kalau muka saya tak keluar televisyen lagi, anda tahu
kenapa. Kerana ini (terlibat politik)," katanya.
Aishah kemudian mengakhiri ucapan dengan mendendangkan lagu 'Bahtera Merdeka'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan