Jumaat, 12 Januari 2018

Isu terowong dasar laut: Pejabat Ketua Menteri 'ditutup'

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kini ‘ditutup’ sementara waktu, selepas beberapa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat-pejabat agensi kerajaan negeri semalam.
 
Utusan Online melaporkan, beberapa petugas media yang cuba menggunakan lif untuk ke tingkat berkenaan dihalang oleh pengawal keselamatan.
 
Menurutnya, dia mendapat arahan daripada tingkat 28 Komtar supaya tidak membenarkan mana-mana individu masuk ke pejabat Ketua Menteri ketika ini.
 
Sementara itu seorang petugas media pejabat Ketua Menteri memaklumkan, dia diarahkan bersiap sedia di tingkat tiga Komtar sekiranya ada penahanan membabitkan Exco Kerajaan Pulau Pinang bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu terowong dasar laut berkenaan.
 
Semalam, dua pengarah bergelar Datuk ditahan berhubung siasatan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion itu.
 
Kedua-duanya direman selama enam hari bagi membantu siasatan. 
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
 
Kelmarin SPRM merampas dokumen di beberapa pejabat agensi kerajaan di Komtar, yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.
 
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
 
Projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
 
Pelaksanaannya juga dibantah dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
Untuk rekod, Oktober tahun lalu, kerajaan pimpinan Guan Eng itu mengakui gagal menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada Kementerian Kerja Raya, dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek terbabit masih lambat, iaitu pada 2023.
 
 

Tiada ulasan: