PPBM akan berpecah belah sekiranya menuruti desakan beberapa pihak yang mahukan Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatannya.
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu akan berpecah belah sekiranya menuruti desakan beberapa pihak yang mahukan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatannya.
Dr Mahathir berkata, mereka yang mencadangkan tindakan itu diambil terhadap Muhyiddin sebenarnya adalah penyokong Perdana Menteri Najib Razak dan seharusnya disingkirkan daripada PPBM.
“Jika hari ini ia (Muhyiddin) disingkir, parti akan berpecah kerana ramai ahli parti yang menyokongnya. Maka akan gagallah usaha memenangi PRU 14.
“Saya percaya mereka yang mencadang tindakan ini berhasrat untuk menggagalkan perjuangan parti PPBM. Sekaligus mereka ingin lihat saya gagal dan Najib berjaya,” kata Dr Mahathir, memetik kenyataan di laman blognya, www.chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir berkata, terdapat kelompok yang mendakwa menyokong perjuangannya, sebenarnya adalah musuh yang berjuang untuk Najib.
“Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan dari parti. Penyokong Najib tidak ada tempat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia,” kata bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata, setelah disingkir, Muhyiddin tidak menjauhkan diri darinya seperti orang lain yang kehilangan jawatan.
“Sebaliknya beliau bersedia untuk bersama menubuh Parti Pribumi Bersatu dan menjadi Presidennya.
“Beliau menerima cadangan saya supaya saya menjadi Pengerusi parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya,” katanya.
“Banyaklah kerja yang dibuat oleh beliau untuk menjayakan Parti Pribumi Bersatu, jauh lebih dari orang yang bercadang menyingkirnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan