Isnin, 22 Mei 2017

Shahir sedia kahwini Erra Fazira


Shahir Zawawi
Shahir Zawawi
 
PENYANYI yang juga juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir Zawawi mengakui dia dan bintang terkenal, Erra Fazira kini berkawan rapat.

Bahkan jejaka berusia 29 tahun ini juga bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin.

"Apa yang boleh saya katakan saya memang serius berkawan dengannya (Erra).

"Langkah seterusnya, Insya-ALLAH, doa-doakanlah semuanya dipermudah dan dipercepatkan. Cuma buat masa ini saya rasa belum manis untuk saya berkongsi.

"Bila sudah tiba masanya saya tidak keberatan untuk berkongsi," katanya.

Malah menurut Shahir, setakat ini tiada halangan dari pihaknya untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

"Apa yang boleh saya kata proses seterusnya yang berkaitan dengan adat-adat saya serahkan pada orang tua," ujarnya ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat di Gombak, petang tadi.

Ditanya adakah dia sudah menemui ibu Erra, Shahir berkata, dia belum berkesempatan untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Shahir berkata, dia juga bersedia untuk kembali aktif dalam industri seni selepas lebih tiga tahun menghilang.

"Saya tahu mungkin ada yang fikir saya main-main atau mungkin ada yang dah hilang kepercayaan kepada saya.

"Tapi apa yang boleh saya katakan kehilangan saya sebelum ini kerana kerja dan tanggungjawab lain. Saya juga tidak mahu susahkan pihak lain andai tidak dapat beri komitmen sepenuh masa.

"Jadi tidak ada kena mengenalah dengan masalah kesihatanlah, keluargalah, merajuklah.

"Insya-ALLAH selepas raya ini saya akan muncul dengan sebuah program TV dan saya juga merancang untuk merakam single baru yang sudah lama tertangguh.

Harap perancangan kali ini dipermudahkan," jelasnya.

Tiada ulasan: