Pada sesetengah pihak ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat kerana ia menggambarkan seolah-oleh HARAPAN terlalu memikirkan soal jawatan dan pangkat daripada memberi tumpuan sepenuhnya terlebih dahulu kepada strategi dan kempen mengalahkan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang.
Tidak kurang juga yang berpendapat calon Perdana Menteri itu sebaiknya dikemukakan lebih awal supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat di bawah bahawa kesepakatan HARAPAN ini benar-benar ampuh dan bersedia mengambil alih Putrajaya.
Apa yang pasti, majoriti pimpinan HARAPAN bersetuju sekiranya HARAPAN berjaya menawan Putrajaya, tanggungawab sebagai Perdana Menteri itu diberikan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR selepas beliau dibebaskan dari hukuman penjara. Malah bekas seterunya, Tun Dr Mahathir juga pernah berkata jika itu yang dimahukan rakyat, siapalah saya untuk menghalang.
Mengambil kira tempoh masa Anwar dapat dibebaskan untuk melayakkan beliau bertanding sebagai ahli parlimen seterusnya diberi mandat sebagai PM, masa yang diperlukan untuk ke arah itu adalah kira-kira 2 hingga 3 tahun dan mungkin lebih. Sebelum usaha itu dapat dijayakan, seorang Perdana Menteri interim atau sementara perlu dilantik supaya urusan kerajaan dan perubahan-perubahan yang diwar-warkan semasa kempen dapat dilaksanakan.
Sekiranya ini roadmap yang dipersetujui, maka Perdana Menteri interim inilah yang menjadi tanda tanya, siapa selayaknya?
Kelihatannya seperti mudah. Lantik, tunggu Anwar keluar dan serah kepada Anwar. Tetapi ia tidak semudah yang difikirkan. Lihat sahaja roadmap Langkah Kajang. Nampak mudah dan seperti boleh dilaksanakan tetapi setelah separuh jalan, pelbagai pula mehnah dan karenah berlaku. Bukan kerana roadmapnya tetapi keteguhan kepada janjinya.
Sesiapa sahaja boleh meletakkan nama sebagai Perdana Menteri interim ini kerana pada kefahamannya ia hanya bersifat sementara. Tetapi sementara itu bukan bermaksud tak perlu buat apa-apa dan hanya menunggu Anwar.
Ada kerja dan tuntutan yang perlu dilaksanakan dan ia tidak boleh diambil mudah. Kita tidak mahu Pakatan Harapan yang mendapat kepercayaan rakyat itu nanti bertukar menjadi ‘putus harapan’.
Dalam Kongres PKR baru-baru ini, malah sebelum ini pun PKR optimis bahawa tugas PM sementara itu hanya layak disandang Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PPBM pula melalui Penasihatnya enggan memberi sebarang bayangan awal dan mengajak semua pihak berusaha mengalahkan BN terlebih dahulu dan melihat parti mana yang memenangi kerusi terbanyak akan diberi mandat tersebut. Maka mereka memilih untuk menangkap gambar daripada mengangkat sepanduk ANWAR PM ke-7 .
Namun ada pihak yang melihat PPBM berminat dengan jawatan tersebut setelah dikatakan berusaha meminta lebih banyak kerusi parlimen untuk ditandingi pada PRU akan datang.
DAP pula dari awal menolak sangkaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan mereka bakal diangkat sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sekiranya menang pada PRU ke 14 nanti. Lim Kit Siang tegas mengatakan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
Hanya Amanah yang kelihatan tidak mahu dilihat berminat dengan jawatan tersebut dan hanya akan membawa pandangan melalui perbincangan dalaman. Namun sebagai gabungan pakatan yang mesra kepada pandangan dan pendapat dari sisi yang berbeza, saya lontarkan, mengapa tidak Mohamad Sabu?
Tanpa menafikan kemampuan kepada mana-mana calon yang disebut, mari kita lihat merit yang ada pada Haji Mohamad bin Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu yang kini berusia 63 tahun, 29 tahun lebih muda dari Tun Dr Mahathir.
Beliau merupakan tokoh tulen pembangkang yang setia berada dalam posisi sebagai pembangkang sejak dari awal lagi pembabitannya dalam politik. Lebih separuh usianya dihabiskan dalam gerak kerja sebagai ahli politik pembangkang.
Beliau tidak mengambil langkah ‘mencuci dari dalam’ seperti yang dibuat beberapa pimpinan yang akhirnya diri mereka ‘dicuci terlebih dahulu’. Seandainya beliau mengambil langkah sedemikian, dan setia benar kepada ketuanya, mungkin tempat Zahid Hamidi itu adalah miliknya. Tetapi kerana percaya dan benar-benar berpegang teguh dengan prinsip, itu bukan jalan yang dipilih Mat Sabu.
Beliau berusaha dan komited, untuk melaksanakan perubahan, reformasi, tajdid, islah atau apa sahaja istilah yang disebut ke arah membina semula negara sebuah kerajaan di luar dari pengaruh BN perlu diwujudkan.
Menyedari hakikat itu, beliau menjelajah ke seluruh negara, masuk ke semua ceruk kampung, berceramah dan bersyarah dengan gaya bahasa bersahaja mengajak rakyat berfikir tentang masa depan. Tanyalah kepada beliau, daerah mana yang tidak pernah beliau kunjungi.
Sejak dari 70-an beliau berpegang kepada prinsip ini dan berjuang sepenuh hati mengajak rakyat bersama beliau ketika itu. Melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), seterusnya bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kini Parti Amanah Negara (AMANAH), beliau tetap meneruskan usahanya mengajak kepada perubahan.
Masuk keluar penjara tidak menjadi masalah baginya malah duduk bersama dengan orang yang memenjarakannya pun bukan penghalang untuk beliau terus berusaha memastikan perubahan berlaku sehinggakan ramai tokoh yang dahulunya penentang beliau kini mengakui apa yang diperjuangkan Mat Sabu adalah benar.
Mat Sabu pencetus kepada budaya berbincang secara ilmiah. Ingatkah anda isu Mat Indera? Atas lontaran beliau tentang Mat Indera, forum-forum dan perbincangan berkaitan sejarah negara menjadi perhatian dan menghidupkan budaya perbincangan ilmiah di universiti-universiti malah di kampung-kampung. Itulah penangan Mat Sabu.
Meskipun beliau bukan pemegang ijazah kedoktoran (phd), namun rekod yang merakamkan pemikiran dan usaha juang beliau ada dalam arkib tesis dan disertasi di universiti-universiti. Beliau juga mengamati perkembangan politik dunia dan sering ke negara-negara luar untuk memahami dan melihat sendiri isu yang berlaku di negara-negara tersebut. Cuma kehadirannya bukan sebagai pemimpin kerajaan, jadi tiada liputan yang diberikan kepada beliau.
Seperti yang pernah disebut oleh Prof Dr Ridhuan dalam satu majlis penyerahan tesis oleh graduan seliaannya, beliau berkata, pemikiran Mohamad Sabu bukan sahaja terpancar di dalam negara bahkan hingga ke University Frankfurt cuma perjalanan dan pemikiran Mohamad Sabu tidak dirakam dalam bentuk tulisan menyebabkan ia seakan tidak terpandang dan tiada dalam rak di perpustakaan.
Dalam gerakan bersama rakyat, gerakan apa yang tidak disertai Mat Sabu? Hampir kesemua gerakan sivil yang melibatkan isu rakyat didokongi beliau malah ada beberapa gerakan diasaskan beliau.
Ini menunjukkan beliau benar-benar menjiwai keluhan rakyat dan mempamerkan sikap yang tegas dalam memperjuangkan isu-isu rakyat. Oleh sebab itu, hampir seluruh rakyat di negara ini baik di kampung mahupun bandar mengenali Mat Sabu malah kebanyakan orang kampung memanggil AMANAH sebagai Parti Mat Sabu. Begitulah betapa tingginya jenama Mat Sabu itu di mata rakyat.
Apa yang lebih penting dalam semua yang dinyatakan di atas adalah ketulenan beliau dalam menggalas tugas sebagai pemimpin pembangkang . Istiqamahnya beliau dalam menjadi penyemak dan pengimbang dasar-dasar kerajaan dan terus-terusan memberi tekanan kepada isu-isu korupsi telah teruji dan pengalaman beliau ini merupakan kualiti yang diperlukan sebagai pemimpin utama negara.
Soal prinsip dan keberanian beliau membuat keputusan tidak perlu dipertikai. Beliau keluar dari memegang sebarang jawatan di negeri Pulau Pinang sejurus PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Beliau keluar dari PAS, parti yang telah beliau perjuangkan puluhan tahun dan membina AMANAH kerana mempertahankan prinsip ’amar makruf nahi mungkar’ yang dipegang beliau.
Beliau buang hal peribadi dan perasaan lama untuk meraikan sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan ini atas dasar prinsip. Maka, andai diberi mandat kepada beliau untuk memimpin negara sehingga Anwar layak diserahkan tugas tersebut, saya yakin beliau tidak akan berdolak-dalih untuk merealisasikan perkara tersebut.
Sehingga kini, ketokohan dan kualiti yang ada pada Mat Sabu sebagai pembawa perubahan perlu diakui. Beliau antara pemimpin teratas yang disenangi oleh semua komponen HARAPAN baik melayu mahupun bukan melayu. Tidak pernah terlibat atau mencetuskan konflik sesama mereka malah sering mengambil sikap terbuka apabila timbul perselisihan. Di dalam parti yang diketuainya AMANAH, kedudukannya teguh dan bergerak maju. Inilah nilai kepimpinan yang ada padanya bersama pasukannya yang mempunyai latar dan rekod yang cemerlang.
Sekiranya ditanya siapa pemimpin 'Muslim Demokrat' yang ada di Malaysia selain Anwar Ibrahim, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa orangnya adalah Mat Sabu.
Cuma Mat Sabu tidak pernah duduk dalam kerajaan, tidak pernah memegang kuasa dan jawatan besar seperti mana Anwar dan orang tidak dapat melihat bekas tangannya dalam hal pentadbiran kecuali pengalamannya menjadi ahli parlimen selama 3 penggal, Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).
Namun sekiranya tugas sebagai Perdana Menteri Interim ini diberikan kepadanya, saya yakin beliau tidak hanya akan menunggu, malah beliau akan segera melaksanakan proses perubahan yang dilaungkan seiring dengan aspirasi Anwar dan rakan-rakannya.
Maka, sekali lagi saya sarankan dalam isu ini, mengapa tidak Mohamad Sabu yang menjadi pilihan?
* MOHD AZHAR ABD RAHMAN, Setiausaha Pemuda AMANAH,Tanjung Malim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan