NILAI: Pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang antara lain bertujuan
mewajibkan majikan menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada
pekerja asing dijangka akan dibentangkan di Parlimen Januari tahun
depan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata satu kertas
kerja terperinci mengenai isu penginapan pekerja asing telahpun dibuat
oleh kementerian dan dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa yang
dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
"Ia telah dipersetujui dan diluluskan oleh jawatankuasa itu. Walaupun
telah diluluskan, ia hanya boleh dikuat kuasa setelah diluluskan
Parlimen. Kita harap bahawa akta yang sedang kita buat ini akan dapat
dibentang dan diluluskan pada Januari 2018.
"Setelah diluluskan, adalah wajib untuk majikan menyediakan penginapan
kepada pekerja asing dan saya percaya majikan akan berpusu-pusu mencari
tempat tinggal yang diuruskan oleh syarikat yang diluluskan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia," katanya di sini pada
Khamis.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Penginapan
Berpusat Pekerja Asing di Mantin yang diuruskan syarikat MYR Relocation
Management Sdn Bhd yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian
Datuk Seri Adnan Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MYR Relocation
Management Sdn Bhd M. Kamalan.
Mengulas lanjut beliau berkata dalam akta itu, sememangnya terdapat
klausa mengenai keperluan majikan menyediakan penginapan untuk pekerja
asing, namun ia tidak diselaraskan serta tidak terperinci.
"Dalam kertas kerja itu, kita menerangkan sekurang-kurangnya luas
sesebuah bilik mestilah berkeluasan 4.5 meter persegi yang boleh
memuatkan empat hingga enam pekerja," katanya.
Dalam pada itu, Riot berkata pusat penginapan berkenaan hanya akan
dibina di kawasan yang jauh sedikit dari taman perumahan awam.
"Sebanyak 11 syarikat yang telah diluluskan KDN dan kementerian yang
akan menguruskan pembinaan penginapan berpusat ini," katanya.
Terdahulu, Riot meluangkan masa selama setengah jam untuk meninjau
sendiri penginapan berpusat itu yang bercirikan pangsapuri dilengkapi
empat bilik dan ruang makan serta kemudahan lain seperti kawasan riadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan