PETALING JAYA: “Tidak timbul isu minta maaf sebab dia tak salah pun,”
kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri
Siron.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan
maaf Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di
atas tindakannya membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar pada
Jumaat.
Nadzri ketika dihubungi mStar Online berkata, mengikut undang-undang
jalan raya, seseorang itu dikecualikan memakai topi keledar atas faktor
agama.
“Selagi ia dibenarkan maka bukan menjadi isu. Tiada masalah bagi mereka
(memakai serban) untuk tidak memakai topi keledar, sekiranya ada kaitan
dengan kepercayaan dan keagamaan.
“Kalau nak pakai topi keledar dan nak buka (serban), terpulang kepada
kesedaran masing-masing sekiranya merasakan pemakaian topi keledar itu
lebih selamat,” katanya.
Mengikut Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca
bersama Pengecualian 1975 di mana kelonggaran diberikan kepada mereka
yang memakai serban seperti haji, lebai dan kaum Sikh.
Terdahulu, Zulkifli menerusi kenyataan di Facebooknya menjelaskan,
insiden itu berlaku kerana beliau terlibat dalam program cerapan anak
bulan Ramadan di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat petang.
“Mungkin ada yang ternampak kami membonceng motosikal tanpa memakai helmet sebentar tadi.
“Memandangkan jalan raya agak sesak dan tidak mahu menyusahkan
penganjur dan kelancaran majlis dek terperangkap dalam jalan raya,
keputusan diambil untuk membonceng motosikal ini,” katanya yang
mengenakan serban di kepalanya.
Zulkifli turut memuat naik gambar dari arah belakang yang menunjukkan
beliau membonceng motosikal, dipercayai dirakamkan oleh orang awam.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas tindakan tidak memakai topi keledar.
Dalam pada itu, Nadzri mengagumi Mufti Wilayah Persekutuan di atas
kesedarannya yang prihatin tentang keselamatan sebagai pengguna jalan
raya, dan seharusnya wajar dicontohi orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan