KUALA LUMPUR: Seramai 21 pegawai dan anggota polis ditahan di seluruh negara menerusi Op Kabaddi kerana disyaki terbabit melindungi kegiatan jenayah termasuk sindiket pengedaran dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata semua suspek terbabit ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (SOSMA).
Op Kabaddi dilancarkan awal bulan ini bagi membanteras anggota pasukan itu yang terbabit melindungi kegiatan jenayah.
“Siasatan polis masih berjalan dan di peringkat pengurusan kita akan lihat kelemahan dalaman yang ada untuk ditambah baik,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan 604 pelatih Kadet Inspektor Siri 2/2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pada 13 Mei lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan terdapat pegawai kanan polis di Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia ‘melindungi’ sindiket pengedaran dadah yang sepatutnya mereka tumpaskan.
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan pasukan tindakan khas mula menahan pegawai dan anggota yang terlibat sejak minggu lepas dengan ada antaranya berpangkat timbalan superintendan serta inspektor.
Mengulas mengenai tujuh pegawai dan anggota polis di Melaka yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata kesemua mereka masih ditahan dan disiasat suruhanjaya itu.
Noor Rashid berkata pihaknya kini mempertimbangkan cadangan membuat pertukaran tempat kerja lebih kerap untuk anggotanya bagi mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak beretika.
“Aspek integriti dan amanah ditekankan dalam pemilihan di tempat atau jawatan sensitif kerana mereka perlu mempunyai ketahanan untuk tolak godaan (rasuah),” katanya.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan