Ahad, 7 Mei 2017

Mangsa banjir kecewa wakil rakyat BN gagal jalan tanggungjawab


Oleh

PENSIANGAN: Wakil-wakil rakyat di Pensiangan, khususnya bagi kawasan Sook dan Nabawan gagal menjalankan tanggungjawab mereka apabila dilihat mengabaikan penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir besar baru-baru ini.

Menurut seorang penduduk yang terjejas, Francis Unsing, sejak bencana berlaku sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang bantuan atau pun lawatan dari wakil rakyat kawasan itu.

Lebih menyedihkan, dia dan anak-anaknya terpaksa bergadai nyawa menyeberangi sungai setiap hari apabila perlu keluar dari kampung untuk berurusan.

Lawatan rasmi DAP Sabah baru-baru ini ke kawasan terjejas

Bagaimanapun, Francis melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan DAP Pensiangan, Sook dan Tulid terhadap masalah yang dihadapi keluarganya dan penduduk yang terjejas dengan menghulurkan bantuan makanan dan sumber air bersih.

Dalam satu lawatan rasmi  ke kawasan terjejas baru-baru ini, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata, pihaknya akan cuba memberikan bantuan khususnya bagi kawasan yang terputus bekalan keperluan harian.

“DAP Pensiangan sudah pun mula beri bantuan makanan kepada mereka yang terjejas dan kita akan bantu apa yang kita mampu. Yang penting, DAP cuba sedaya upaya untuk ringankan beban penduduk di sini,” kata Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan.

Turut sama dalam lawatan rasmi itu ialah Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Keningau, Peter Saili dan Ketua Wanita DAP Sabah, Jennie Lasimbang serta kepimpinan DAP Sabah.

Kesal dengan sikap wakil-wakil rakyat kawasan itu, Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang, berkata kegagalan mereka turun padang jelas membuktikan mereka tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.

Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan dan Penyelaras DAP Sook, Clare Simbat menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir.

Ironinya kata Adrian, mereka juga turut gagal mengikuti arahan ‘bos’ mereka, Ketua Menteri Sabah, Datuk Sri Musa Aman sendiri yang mahu supaya wakil-wakil rakyat memperbanyakkan program turun padang.

Lebih-lebih lagi dengan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta menjadikannya berjumlah RM2 juta kepada wakil rakyat mereka yang diumum dalam pembentangan Belanjawan 2017 Sabah sebelum ini.

“Penduduk sendiri mengadu bahawa mereka amat kecewa dengan wakil rakyat mereka seperti Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Ellron Angin mahu pun Datuk Bobbey Suan yang tidak turun padang meninjau dan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Ini membuktikan yang mereka telah gagal memimpin dan menjaga kebajikan rakyat di kawasan mereka,” ujarnya.

Menurutnya, setelah tinjauan ini, DAP Pensiangan akan membincangkan tindakan selanjutnya  bersama penyelaras-penyelaras  DAP kawasan Dewan Undangan Negeri untuk meringankan masalah penduduk.

Sukarelawan DAP redah sungai bantu mangsa banjir.

Sehingga saat ini, Penyelaras DAP Sook, Clare Taunek Simbat dan Penyelaras DAP Tulid Robinson Rusikan ujar Adrian  terus membuat pemantauan dan mengagihkan bekalan makanan asas dan air minuman dari masa ke masa.

Beliau pada masa yang sama berjanji akan membantu membaiki jambatan yang rosak secara bergotong royong dengan penduduk kampung seperti di Kg Batu Lunguyan yang menjadi laluan beberapa keluarga dan pelajar sekolah di kampung tersebut.

“Saya tegaskan disini bahawa saya telah berjanji kepada penduduk di Kg Batu Lunguyan, dimana kami dari gerak kerja DAP khususnya DAP Tulid, akan bergotong royong bersama penduduk kampung dan membina semula jambatan mereka jika dalam tempoh sebulan masih tiada jalan penyelesaian diambil oleh wakil rakyat dan kerajaan untuk menyelesaikan masalah penduduk disini,” tegasnya

Kejadian banjir besar baru-baru ini telah mengakibatkan lapan jambatan musnah dan rosak teruk dan mengakibatkan 1,500 orang penduduk terjejas. -Roketkini.com


Tiada ulasan: