Isnin, 22 Mei 2017

Kerajaan bersih: Mengapa perlu tunggu 33 tahun lagi?

 MALAYSIA DATELINE

Mohd Sany HamzanMohd Sany Hamzan

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan yang mengatakan Malaysia akan mencapai negara bersih pada tahun 2050 melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) hanya membuka pekung yang ada.

Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, kenyataan itu membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini tidak bersih sebaliknya terpalit dengan pelbagai kepincangan.

"Pemuda Umno tidak boleh menafikan bahawa kerajaan yang ada selama ini tidak mempunyai integriti disebabkan kegagalan urus tadbir dan tatakelola akibat pimpinan yang tidak amanah dan bertanggungjawab.

"Sebaliknya negara sedang menghadapi krisis kepimpinan yang sangat meruncing menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sesi dialog TN50 di Titiwangsa semalam, Razlan menyuarakan keyakinan terhadap kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendakwa menahan pelaku rasuah.

"Saya percaya kerajaan akan terus memakmurkan negara ini dan akhirnya kita akan ada kakitangan awam dan sektor swasta yang berintegriti tinggi pada tahun 2050 - percayalah - kita akan mempunyai pemimpin yang mempunyai integriti yang tinggi," katanya seperti dilaporkan media.

Mengulas lanjut, Sany menegaskan, kerajaan yang bersih mestilah dilaksanakan sejak awal pembentukan lagi.

Namun katanya, hampir 60 tahun Umno-BN memerintah negara, pentadbiran yang bersih gagal dilaksanakan disebabkan integriti parti dan pemimpin yang sedia ada.

"Kenyataan Pemuda Umno yang mensasarkan kerajaan bersih tahun 2050 adalah satu sasaran yang tidak masuk akal. Kenapa memerlukan 33 tahun lagi untuk memastikan pentadbiran negara benar-benar bersih?

"Kami menegaskan, rakyat mahukan kerajaan yang bersih dan amanah dalam pentadbirannya.
Selama hampir separuh abad Umno-BN memerintah negara terbukti gagal, kini mereka mahukan 33 tahun lagi untuk memastikan kerajaan bersih dapat dilaksanakan," katanya.

Pemuda Amanah Nasional juga yakin kerajaan yang bersih tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya Umno-BN terus memerintah negara dan rakyat tidak lagi percaya kepada kerajaan yang sedia ada sebaliknya mahukan satu pentadbiran baharu untuk memerintah negara.

"Kami yakin, rakyat tidak akan memberi ruang dan peluang sehingga 2050 untuk kerajaan yang sedia ada menjarah wang negara. Rakyat sudah mempunyai azam untuk membuat perubahan dalam PRU14 dengan memberi mandat kepada Pakatan Harapan," katanya.

Tiada ulasan: