Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman mengakui wujudnya
kemelut dan pergolakan dalaman yang menjadi punca Exco Srikandinya,
Zulaiha Sidek mengambil keputusan meletakkan jawatan.
Hamidah yang terkejut dengan perkembangan terbaru itu, sekali lagi
menggesa supaya pucuk pimpinan parti serpihan Umno itu untuk turun
padang bagi melihat secara mendalam permasalahan yang berlaku di dalam
parti.
"Saya pun tidak tahu hendak cakap apa. Saya rasa kalau sudah semua
orang cakap maknanya benda itu wujud. Dan seharusnya pucuk pimpinan PPBM
tidak bolehlah mengambil sikap berdiam diri lagi. Kena kaji selidik apa
sebenar permasalahan dan cuba tangani secara bijaksana dan secara
efektif.
"Saya rasa perkara ini, ketidakselesaan ini memang wujudlah tetapi sejauh mana PPBM dapat menanganinya?
"Sebab kalau perkara ini terus dibiarkan, siapa sahaja keluar, kita
kata mereka itu orang yang kecewa, orang Umno, pengkhianat, saya rasa
masalah ini takkan selesai," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Awal hari ini, Zulaiha mengumumkan peletakan jawatannya kerana mendkawa sudah muak dengan kemelut dalaman yang melanda PPBM.
Selain menjadi exco Srikandi kebangsaan, Zulaiha juga ialah Ketua Penaja Srikandi PPBM Bahagian Batu Gajah.
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
Dalam pada itu, Hamidah ketika ditanya mengenai desas-desus beliau akan
keluar parti itu tidak lama lagi, dilihat masih berteka-teki.
"Bukan pada masa ini lah. Itulah jawapan saya," jawabnya ringkas.
Sebelum ini, sumber Antarapos mendedahkan Hamidah bakal keluar parti
dalam masa terdekat namun enggan mengulas lebih lanjut bersabit perkara
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan