Isnin, 22 Mei 2017

Dr Mahathir minta ahli sabotaj parti dipecat

Oleh The Malaysian Insight
Dr Mahathir minta ahli sabotaj parti dipecat
Dr Mahathir Mohamad kesal dengan sikap ahli yang menjejaskan kestabilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang secara tidak langsung akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional dan Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad mengecam ahli parti yang menggunakan namanya untuk menyingkirkan Presiden Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan demikian hanya menjejaskan kestabilan Bersatu dan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Najib Razak.

"Ramai yang mendakwa saya sokong mereka. Nama saya diguna untuk memberi kekuatan kepada apa yang hendak dilakukan oleh mereka. Ini termasuk kempen untuk menggagalkan usaha saya untuk mengalahkan kerajaan pimpinan Najib.

"Tindakan mereka secara langsung atau tidak langsung akan memesongkan tumpuan ahli Bersatu daripada menjatuhkan Najib kepada masalah buatan mereka," tulis Dr Mahathir dalam blognya, cheded.cc hari ini.

"Kita semua tahu amatlah sukar untuk memujuk pemimpin Umno, terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan, menjadi menteri terutamanya meninggalkan Umno. Kalau meninggalkan pun atau menjadi bekas menteri, tidak sanggup mereka menyertai gerakan melawan Umno.

"Kononnya Muhyiddin patut disingkir sebagai presiden parti. Kononnya dia mengguna saya untuk kepentingan dirinya. Kononnya dia ingin dapat jawatan tertentu baginya.," katanya.

Pemimpin berusia 92 tahun itu berkata, dakwaan itu salah kerana Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri dan beliau individu seterusnya yang akan menjadi perdana menteri jika Najib melepaskan jawatannya.

"Baginya (Muhyiddin) dan bagi Shafie Apdal membenar diri disingkir daripada jawatan-jawatan menjadi korban yang amat besar."

"Setelah disingkir, tidak seperti orang lain yang kehilangan jawatan, Muhyiddin tidak jauhkan diri dari saya. Sebaliknya beliau bersedia untuk bersama menubuh Bersatu dan menjadi presidennya.

Beliau menerima cadangan saya supaya saya menjadi pengerusi parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya," kata Dr Mahathir.

Bersatu akan berpecah jika Muhyiddin digulingkan dan dengan itu semua usaha untuk memenangi pilihan raya umum akan datang gagal, katanya.

Dr Mahathir, yang memerintah dari 1981-2003, berkata niat mereka yang ingin menggulingkan Muhyiddin adalah untuk memecahbelahkan Bersatu.

"Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib. Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan daripada parti.

"Penyokong Najib tidak ada tempat dalam Bersatu," kata Dr Mahathir.

Dilaporkan pada Ahad, Ketua Pendaftar Bersatu Perak Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menggesa peletakan jawatan Muhyiddin kerana gagal menjalankan tugasnya.

Azrul juga mendakwa Muhyiddin menggunakan Dr Mahathir untuk meletakkan kroni beliau dalam jawatan parti.

Bersatu Perak menafikan dakwaan itu, menurut laporan Bernama hari ini.

Tiada ulasan: