Rabu, 3 Mei 2017

Amanah cabar Pas bertanding semua kerusi Dun, Parlimen di Melaka

 MALAYSIA DATELINE


Mohd Sofi WahabMohd Sofi WahabPas wajar bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 6 kerusi Parlimen di Melaka, jika mendakwa parti itu cukup kuat untuk menentang Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kata Timbalan Pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab.

Cabaran ini dibuat oleh Timbalan Pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab yang berkata, dengan mengumumkan hanya iingin bertanding 15 kerusi sahaja, menunjukkan Pas agak sukar untuk menang kecuali jika Pas mahu membentuk kerajaan campuran dengan BN.

"Mengapa hanya ingin bertanding sebahagian sahaja tidak semua kerusi sedangkan Pas mendakwa parti itu kuat dan telah bersedia untuk bertanding.

"Jika bertanding hanya 15 kerusi macamana untuk memerintah negeri kerana agak sukar untuk menang semua kerusi kecuali Pas ingin membentuk kerajaan campuran dengan BN.

"Pakatan Harapan sudah pasti akan bertanding semua kerusi Dun dan Parlimen bukan 15 atau 16 kerusi Dun dan 2 atau 3 kerusi Parlimen sahaja.

"Pakatan Harapan bertanding bukan sekadar untuk mengacau tetapi untuk memerintah negeri dan negara," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sofi turut mempersoalkan istilah 'kerusi tradisi' yang kerap digunakan Pas.

"Di mana Pas dapat istilah ini kerana semua kerusi terbuka untuk ditandingi oleh sesiapa pun.

"BN yang menang sekian lama di Melaka inipun tidak mendakwa kerusi-kerusi mereka sebagai kerusi tradisi," ujarnya.

Justeru Mohd Sofi mengharapkan agar Pas Melaka tidak membuat kenyataan serupa kerana ianya jadi bahan ketawa rakyat.

"Saya mencadangkan Pas bertanding lebih banyak kerusi di Melaka ini. Jika tidak mampu Pas boleh meminta rakan mereka dalan blok ketiga iaitu parti pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Berjasa bertanding di Melaka.

"Melihat kepada kenyataan-kenyataan hebat pimpinan Pas yang menyatakan Pas tidak perlu berkawan dengan pembangkang jelas membuktikan Pas kuat dan gagah.

" Malah dengan lulusnya usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR juga satu lagi bukti Pas kuat.

"Cuma rakyat tidak mahu melihat Pas menjadi pengacau kepada gabungan pembangkang dalam usaha untuk menumbangkan BN pada PRU14 nanti. Rakyat sudah muak dengan sikap Pas yang bermain tarik tali yang sejak akhir-akhir ini kelihatan sangat mesra dengan Umno/BN dengan begitu keras dengan Pakatan Harapan," ujarnya.

Semalam Pesuruhjayanya Pas Melaka Kamaruddin Sedik dipetik berkata, pihaknya kekal dengan pendirian untuk bertanding di 15 kerusi Dun dan Parlimen yang menjadi kerusi tradisi parti itu pada pilihan raya sebelum ini.

Malah, katanya, parti berkenaan juga sedang mempertimbangkan mengambil kembali beberapa kerusi yang pernah dipinjamkan kepada PKR dan DAP, termasuk di Parlimen Jasin, Dun Rim dan Ayer Limau.
Kerusi yang ditandingi Pas pada pilihan raya umum lalu adalah Parlimen Masjid Tanah, Dun Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundur, Bukit Baru, Ayer Molek, Telok Mas, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Baru, Dr Md Khalid Kasim adalah satu-satunya calon Pas yang menang pada PRU lalu.

Tiada ulasan: