KUALA LUMPUR: Penerbangan Rayani Air hari ini mengesahkan cermin kokpit pesawatnya yang retak semalam berpunca daripada suhu panas dan bukannya kerana unsur sabotaj.
Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata perkara
itu dikenal pasti selepas pihaknya serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA)
melakukan siasatan.
"Kita sudah siasat, sudah periksa. Tiada unsur sabotaj atau masalah teknikal.
"Keretakan cermin itu perkara biasa kalau berlaku 'overheat'. Pasukan
jurutera yang diiktiraf DCA selesaikan siasatan," katanya memetik
laporan mStar hari ini.
Katanya, cermin yang retak itu juga diganti dengan cermin baharu yang
dihantar ke Langkawi selepas pihaknya menyewa pesawat Malaysia Airlines
Berhad (MAB) malam tadi.
"Cermin kokpit yang retak sudah diganti dengan yang baharu.
"Kita sudah buat pemeriksaan keselamatan dalam menangani hal ini.
Pesawat berkenaan sudah boleh beroperasi semula hari ini," katanya.
"Lebih 50 penumpang dibawa guna pesawat MAB dari Kuala Lumpur pada
pukul 9.30 malam tadi dan tiba di Langkawi pukul 10.30 malam.
"Kita kemudiannya kembali ke Kuala Lumpur bagi membawa lebih 150
penumpang dari Langkawi, yang terkandas akibat pembatalan penerbangan di
sebelah pagi dan petang," katanya.
Semalam, lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang
Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan dibatalkan kerana keretakan
cermin kokpit pada pesawat Boeing 737 miliknya.
Penerbangan sama dilaporkan turut menggunakan satu lagi pesawat MAB
bagi mengangkut penumpang dari Kota Baru ke Kuala Lumpur pada malam tadi
yang terjejas akibat insiden sama.
Rayani Air adalah syarikat penerbangan patuh syariah yang mula beroperasi pada 20 Disember 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan