BATU PAHAT: Polis sedang menyiasat kes seorang lelaki memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, dekat sini, petang semalam yang rakaman videonya tersebar di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki terbabit yang
dipercayai suami kepada wanita berkenaan bukan saja bertindak memukul
isterinya itu di bahagian badan menggunakan kasut, malah menendang
wanita malang itu.
Dalam video berdurasi satu minit itu, lelaki berkenaan turut memukul
seorang remaja perempuan yang dipercayai anak pasangan berkenaan sambil
wanita itu memeluk erat mangsa bagi melindunginya daripada turut
dipukul.
Perbuatan kejam lelaki berkenaan berjaya dirakam pengguna jalan raya
dan rakaman berkenaan kini tersebar di media sosial dengan kebanyakan
pengguna internet mengecam perbuatan lelaki itu.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakannya memukul wanita
dan remaja perempuan berkenaan bukan saja tidak berhati perut, malah
seolah-olah mahu mengaibkan mangsa kerana dilakukan di khalayak ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din
Ahmad, berkata pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana
individu berhubung kes berkenaan dan meminta saksi kejadian tampil
membuat laporan.
"Kita meminta orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan
menyaksikan insiden berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan