Sabtu, 20 Februari 2016

Peneroka tidak menyesal beri tanah pada pengusaha bauksit





Pemilik tanah di Kuantan tidak menyesal memberi laluan kepada pengusaha bauksit menyewa tanah mereka kerana menerima tawaran lumayan, lebih menguntungkan berbanding kelapa sawit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Februari, 2016.Pemilik tanah di Kuantan tidak menyesal memberi laluan kepada pengusaha bauksit menyewa tanah mereka kerana menerima tawaran lumayan, lebihmenguntungkan berbanding kelapa sawit. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Meskipun hampir separuh pokok kelapa sawit milik Mohamed Fadzil Yusoff, 47, ditebang kerana memberi laluan kepada pengusaha bauksit dan pendapatan diraih kini hanya sebanyak RM250 sebulan namun peneroka tersebut mengakui tidak menyesali dengan keputusannya itu.
 
Peneroka generasi kedua Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang itu berkata tawaran lumayan yang diberikan sememangnya sukar ditolak memandangkan dengan keadaan pasaran komoditi kelapa sawit tidak menentu.

"Memang bauksit memberi pendapatan lumayan buat peneroka, kalau kita tak nak buat pun, tapi kiri kanan kita semua buat, jadi kita pun terpaksalah buat.

"Kami tidak rasa menyesal (beri tanah)," katanya kepada The Malaysian Insider. 
 
Fadzil, antara 248 peneroka Felda yang terlibat dengan aktiviti bauksit, berkata, hasil “sewaan” sebanyak 3 suku ekar tanah ladangnya kepada pengusaha menyaksikannya menerima sejumlah RM100,000 sebagai wang pendahuluan.

"Sebelum moratorium dilaksanakan, sudah ada perjanjian dengan pengusaha bauksit, di mana daripada 10 ekar tanah saya, 3/4 daripadanya digunakan untuk bauksit.

"Saya menerima RM100,000 dan ia dibahagi kepada 5 lagi waris tanah. Namun sekarang, memang tidak ada pergerakan, sebab pokok kepala sawit sudah ditebang. Jadi, sudah tentu hasil berkurangan," katanya.

Pendapat yang sama juga dikongsi seorang lagi peneroka Razak Abdullah, 52, yang menyifatkan dirinya bernasib baik.

Beliau sudah menandatangani persetujuan dengan pengusaha bauksit tetapi tanahnya masih belum disentuh ekoran daripada pelaksanaan moratorium 3 bulan yang berkuatkuasa 15 Januari lalu.

"Saya kira bernasib baik. Walaupun saya sudah tandatangan kontrak, 3 minggu selepas itu, morotarium dikuatkuasa.

"Maksudnya, pokok saya masih ada, tanah masih belum terusik dan saya juga menerima wang deposit RM100,000," katanya.

Ditanya adakah peneroka tersebut merasa rugi kerana membenarkan tanahnya terlibat dengan aktiviti bauksit, Razak berkata ia sebenarnya bergantung kepada individu.

"Saya rasa tidak rugi. Sebab, duit bauksit ini lebih kepada keuntungan jangka masa pendek. Kalau ladang (kelapa sawit), keuntungannya pula dalam jangka masa panjang.

"Dan, saya rasa sekarang ini, lebih baik peneroka terlibat dengan bauksit daripada tanam kelapa sawit," katanya.

Perlombongan bauksit di daerah Kuantan dimulakan pada awal 2013 dan pengeluarannya meningkat secara mendadak mulai pertengahan 2014.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan segelintir penduduk, termasuk aktivis alam sekitar yang menyifatkan aktiviti bauksit secara berleluasa menyebabkan pencemaran dan memberi kesan kepada kesihatan.

Kemuncak isu bauksit, apabila negara digemparkan dengan insiden pesisiran pantai di Kuantan bertukar menjadi kemerahan Disember tahun lalu, dipercayai berpunca daripada pencemaran bauksit.

Susulan itu, 6 Januari lalu Putrajaya bertindak mengumumkan pelaksanaan moratorium sehingga masalah pencemaran dapat diatasi.

Arahan moratorium itu meresahkan sebahagian peneroka Felda Bukit Goh yang terlibat dengan aktiviti bauksit memandangkan ia menjejaskan pendapatan mereka.

Malah menurut laporan News Straits Times, memetik sumber daripada kerajaan negeri, semua pengusaha bauksit di kawasan Felda itu berstatus haram dan secara tidak langsung kesalahan diletakkan kepada peneroka kerana menyalah guna peraturan tanpa kebenaran.

Menurut laporan tersebut, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian kini berusaha menggunakan Kanun Tanah Negara untuk mengenakan tindakan ke atas peneroka, ia berkemungkinan menyaksikan tanah mereka dirampas.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bukit Goh Shahrudin Mohd berkata, pihaknya pernah menghantar memorandum kepada kerajaan negeri tahun lalu meminta dikeluarkan lesen yang sah.

Malah beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan peneroka sekiranya kelemahan pengurusan bauksit datangnya daripada pentadbiran negeri.

"Untuk Felda Bukit Goh, satu lesen (bauksit) tidak pernah dikeluarkan kerajaan negeri. Jadi, pengusaha, peneroka tidak tahu apa yang betul atau tidak, kalau panduan pun tidak ada.

"Kerana itu, kita minta kerajaan negeri buat peraturan, standard prosedur yang betul, yang boleh diikuti. Kena ada pemantauan dan penguatkuasaan betul," katanya.

Tambahnya, situasi peneroka di Felda Bukit Goh kini diibaratkan seperti menunggu buah yang tidak gugur di mana nasib mereka masih menjadi tanda tanya.

Manakala, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, dakwaan menyatakan peneroka menyalah gunakan tanah mereka adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, peneroka mempunyai hak berbuat demikian kerana status tanah itu merupakan hak milik mereka.

Mazlan berkata, peneroka Felda Bukit Goh juga pernah membuat permohonan kepada Felda berhubung isu tersebut meskipun mereka tidak perlu berbuat demikian.

"Tidak ada alasan untuk kerajaan negeri merampas tanah peneroka kerana itu hak milik mereka.

"Isu kononnya nak ambil tindakan dan memberi ugutan serta ancaman saya lihat bukannya langkah bijak kerana perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu," katanya.

Katanya sebagai perbandingan, Felda Bukit Goh tidak menjadi satu-satunya kawasan yang menjadi rebutan pengusaha garam mineral kerana aktiviti perlombongan bijih timah juga berlaku di Felda Chiku, Gua Musang.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dengan keadaan peneroka dan memikirkan alternatif apabila pokok kelapa sawit tersebut kini berusia dan tidak produktif.

Pendapat itu turut disokong Shahrudin apabila berkata, penanaman kelapa sawit sudah tidak sesuai lagi dan mencadangkan kegiatan pembangunan dijalankan di atas tanah bauksit.


Tiada ulasan: