Ahad, 21 Februari 2016

Pembekuan warga asing: BN akan flip-flop lagi selepas PRN Sarawak?

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man


PAS percaya tindakan flip-flop dalam keputusan pengambilan 1.5 juta warga Bangladesh ke pembekuan pengambilan warga asing secara total dalam sekelip mata besar kemungkinan cumalah taktik sementara mengelakkan isu ini daripada menjadi isu utama di pilihanraya negeri Sarawak.

Ini kerana isu pengambilan warga asing secara besar-besaran ini adalah isu yang merentas kaum, agama dan politik dan ia sudah pasti memberi kesan kepada BN di PRN Sarawak.
 Isu ini akan meletakkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang kuat berkempen untuk menguatkan rakyat tempatan Sarawak sendiri dalam keadaan tersepit sekiranya beliau menyokong pengambilan warga asing secara besar-besaran tanpa menyelesaikan masalah kerja dan kehidupan yang sedang menyelebungi rakyat Sarawak.

Warganegara yang tertindas di negeri sendiri, terutamanya negeri Sarawak, sudah pasti akan terasa dengan polisi kerajaan untuk membawa sebegitu banyak warga asing ke negara tatkala hidup mereka terus dihimpit dengan kesusahan kos hidup, mencari kerja dan suasana sosio-politik yang kian berubah kerana pertambahan warga asing yang begitu mendedak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bayangkan perasaan warganegara sendiri apabila melihat warga asing mendapat kerja manakala mereka menganggur, warga asing berniaga merata manakala mereka terus hidup bergaji rendah dan ada yang tiba-tiba menjadi Bumiputra kerana mengahwini orang Bumiputera tempatan dan mendapat hak yang sama, malah ada yang lebih baik daripada warganegara sendiri.

Hari ini, kerajaan boleh menyalahkan kononnya majikan yang flip-flop dalam pengambilan warga asing. Tapi, betulkah begitu kerana pelan perniagaan dan sumber manusia tidak akan secepat para menteri BN berubah keputusan?

Rakyat tunggulah dan lihatlah apakah alasan kerajaan ketika itu pula untuk membolehkan pengambilan warga asing semula. Besar kemungkinan rakyat terpaksa tunggu sehingga PRN Sarawak selesai dahulu.

*  Tuan Ibrahim Tuan Man,Timbalan Presiden PAS 

Tiada ulasan: